KPWKM siasat kes dera bayi di Teluk Intan dan Gelugor – Rina

0
396

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang melakukan siasatan terhadap dua kes penderaaan bayi yang berlaku di Teluk Intan, Perak dan Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dua kes yang tular di media sosial itu, membabitkan penderaan seorang ibu terhadap anak kandungnya dan seorang pengasuh terhadap anak asuhannya dan kementerian memandang serius kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan terhadap kedua-dua kes berkenaan termasuk pihaknya akan mempertimbangkan sama ada untuk memberi khidmat kaunseling terhadap pelaku.

“Kita akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut untuk melihat sejauh mana status kes berkenaan sama ada perlu diberi kaunseling atau pun tidak memandangkan kes berbeza antara satu sama lain.

“Pihak kami memandang serius terhadap isu penderaan terutamanya membabitkan bayi mahupun kanak-kanak. Siasatan terperinci akan dilakukan dan diberikan perhatian segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM1.5 juta kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Malaysia di Kelantan, hari ini.

Tajaan itu bagi penubuhan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang turut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan kerana dipercayai mendera hingga menyebabkan kematian bayi perempuannya berusia setahun 11 bulan di Teluk Intan dalam kejadian pada 9 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata wanita berusia 33 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Teluk Intan pada 5 petang, hari sama.

Selain itu, turut tular di media sosial yang memaparkan seorang pengasuh wanita berusia 50-an yang menampar bahagian muka secara bertalu-talu terhadap seorang bayi selain badan dan tangannya juga dihentak ke lantai dalam kejadian di flat Taman Utama, Gelugor.

Ciapan di Twitter @cocoandbrownie sejak Selasa lepas itu mendapat lebih 40,000 tontonan sekali gus membangkitkan kemarahan pengguna media sosial terhadap pengasuh itu – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here