SPR digesa kaji punca peratusan mengundi rendah pada PRN Johor

0
460

Institut Darul Ehsan (IDE) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan langkah proaktif bagi meneliti secara makro dan mikro sebab atau halangan menyebabkan 45 peratus pengundi di Johor tidak keluar mengundi.

IDE yang melaksanakan analisis Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencadangkan penelitian punca pengundi tidak keluar mengundi itu perlu dilaksanakan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan.

Menurut analisis PRN Johor yang dikeluarkan IDE hari ini, Status pengundi turun mengundi adalah satu tanda aras utama bagi mengukur bagaimana rakyat berpartisipasi dalam kerajaan negeri.

“Peratusan keluar mengundi yang tinggi amat penting dalam mengukur pengukuhan demokrasi, manakala peratusan keluar mengundi yang rendah sering dikaitkan sikap pengundi dan rasa ketidakpercayaan terhadap proses politik yang berlangsung,” memetika laporan Berita Harian.

Mengikut rekod, seramai 2,597,742 rakyat Johor layak menunaikan hak mengundi mereka pada PRN Johor.

IDE mencadangkan SPR menilai sama ada tindakan kumpulan yang tidak keluar mengundi itu adalah sebagai tanda protes atau mereka bosan dengan politik dan pilihan raya atau mungkin mereka tidak sedar kewujudan pilihan raya.

Selain itu, SPR diminta meneliti sama ada pengundi tidak keluar mengundi kali ini kerana mereka beranggapan, akan mengundi sekali lagi jika Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan.

Faktor ketakutan dan kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19 juga perlu diberikan perhatian dan kemungkinan kurang berkemampuan untuk balik mengundi berikutan tinggal di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) atau tempat mengundi.

“SPR perlu mencari kaedah yang lebih efektif harus dicari bagi memudahkan pengundi luar negara untuk mengundi.

“Pengalaman negara lain seperti mewujudkan pusat pengundian di Kedutaan Malaysia luar negara, antara alternatif yang boleh dipermudahkan,” katanya.

IDE menyatakan sasaran turun mengundi 70 peratus yang disasarkan oleh SPR masih tidak dapat dicapai kerana pada PRN Johor hanya 54.92 peratus keluar mengundi.

Justeru, IDE mencadangkan supaya muafakat bersama perlu dicari antara SPR, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agensi untuk bekerjasama meningkatkan kesedaran demokrasi bagi membina satu momentum dan memahami aspirasi tanggungjawab turun mengundi di negara ini.

“Proses pilihan raya tidak wajar hanya terhad kepada pengurusan dan teknikal pilihan raya saja. Ia wajar diperkukuhkan dengan kekuatan kefahaman pengundi mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai warga Malaysia yang efektif mendukung prinsip Ruku Negara dan Perlembagaan Malaysia.

“Maka, pendidikan demokrasi dan kenegaraan adalah penting untuk dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pengundi baru dari pelbagai umur dan undi 18,” katanya.

Analisis itu mendapati rekod peratusan keluar mengundi terendah di Johor dicatatkan di DUN N46 Perling dengan 43.28 peratus yang mana kebanyakan kawasan dengan peratusan undi di bawah 50 peratus ini dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) melalui DAP dan satu lagi kawasan iaitu DUN N41 Puteri Wangsa oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Peratusan tertinggi keluar mengundi adalah DUN N18 Sri Medan dimenangi BN, manakala hampir semua 14 DUN yang melebihi 60 peratus keluar mengundi adalah DUN yang dimenangi oleh BN kecuali DUN N07 Bukit Kepong (61 peratus) yang dimenangi PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal (bekas Menteri Besar) yang memperoleh 9,873 undi.

IDE juga membangkitkan isu undi rosak yang mana sebanyak lebih 25,000 undi dikenal pasti yang dipercayai wujud kerana tiga keadaan.

“Satunya, undi adalah refleksi kepada undi protes rakyat Johor, bahkan ada PACA (Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Kiraan Undi) memaklumkan wujud situasi orang menconteng kertas undi dengan ekspresi tidak puas hati.

“Keduanya, undi rosak boleh diertikan kemungkinan wujud keadaan rakyat tidak tahu untuk mengundi. Justeru, pendidikan politik yang betul untuk mencelikkan rakyat perlu dalam suasana kini oleh SPR, parti politik dan NGO.

“Ketiga, wujud isu teknikal yang menyebabkan undi menjadi undi ragu dan seterusnya ditolak dan dianggap undi rosak. Antara isu yang ditimbulkan soal dakwat dan lain-lain.

Justeru, SPR perlu melaksanakan kajian khusus bagi mengelak masalah teknikal berlaku hingga semangat demokrasi hak mengundi pengundi telah gugur dari diambil kira sebagai satu undi.

Sementara itu, analisis IDE mendapati Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan negeri dengan kemenangan 40 kerusi DUN, memperolehi 599,753 undi atau 23 peratus sokongan diperoleh daripada rakyat Johor yang layak menunaikan hak mengundi.

“Kedudukan kedua sokongan terbanyak diperoleh Pakatan Harapan (PH) Plus yang merangkumi Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP disokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan (Muda) berjaya memperolehi 416,956 undi atau 16.05 peratus manakala PN di tempat ketiga dengan perolehan undi 334,457 (12.8 peratus)

Parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Warisan Sabah (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra); Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Bebas memperoleh peratusan sokongan kurang daripada satu peratus.

“Jika dirangkumkan, akan didapati bahawa pengundian yang menolak BN secara ‘solid’ keseluruhan termasuk undi rosak adalah 817,362 atau 31.46 peratus.

“Jika wujud solidariti pertandingan antara semua parti selain BN, pastinya memberikan kedudukan kemenangan kerusi yang berbeza.” menurut analisis itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here