Onn Hafiz ziarah pusara Onn Jaafar, Jaafar Muhammad

0
268

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluangkan masa menziarahi pusara pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar dan Menteri Besar Johor yang pertama, Datuk Jaafar Muhammad di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, hari ini.

Beliau melakukan ziarah tersebut selepas selesai dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.

Onn Hafiz, 44, merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, meluangkan masa kira-kira 15 minit di pusara berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Mohd. Rofiki Shamsuddin dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

On Hafiz juga merupakan cicit kepada Datuk Onn Jaafar yang merupakan Presiden UMNO pertama serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 Sabtu lalu, beliau menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti 6,543 undian menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R. Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sebelum ini, beliau menyandang kerusi DUN Layang-layang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Mendapat pendidikan dalam bidang perakaunan di University of Hertfordshire, United Kingdom (UK), Onn Hafiz mula aktif dalam politik apabila memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Sembrong.

Kemudian Ketua Pemuda UMNO Sembrong dan selepas itu menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam sehingga kini.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Hishammuddin ketika Ahli Parlimen Sembrong itu menjadi Menteri Pertahanan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Onn Hahiz menggantikan Datuk Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here