Hasni ucap tahniah kepada Onn Hafiz

0
223

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor baharu, hari ini.

Ucapan tersebut dimuat naik dalam Facebook miliknya sejurus selesai majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor itu.

Hasni turut mengulangi kenyataan dibuatnya semalam bahawa tiada mana-mana ideologi atau pemimpin politik yang lebih besar daripada negeri Johor.

“Seperti yang saya telah nyatakan, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

“Kini masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur. Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor yang kita cintai ini akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, Onn Hafiz sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mengangkat sumpah sebagai di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang tadi.

Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Sebelum ini Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari 2020.

Beliau adalah Menteri Besar Johor yang ketiga dilantik selepas, Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here