BN gesa SPR kira semula kertas undi DUN Bukit Batu

0
433

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BARISAN Nasional (BN) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengira semula kertas undi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu berikutan MIC tewas hanya 137 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

S. Suppayah yang menjadi calon BN bagi kerusi DUN Bukit Batu berkata, MIC juga akan menggunakan saluran perundangan kerana dipercayai berlaku ketirisan ketika proses pengiraan undi.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat itu mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak.

“Saya dimaklumkan ejen kira undi, terdapat banyak bantahan dan sepatutnya kertas undi boleh diterima. Tetapi bila ada bantahan daripada PKR, mereka (SPR) tolak semula kertas undi itu.

“Berdasarkan asas itu, kami kurang senang dengan apa yang berlaku, jadi kami lihat menerusi perundangan boleh menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Kulai, hari ini.

Suppayah menunjukkan salinan laporan berkenaan keputusan PRN Johor yang dibuat di IPD Kulai

Pada PRN Johor, Suppayah tewas kepada calon PKR, Chiong Sen Sern di kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi selepas beberapa kali pengiraan undi dilakukan.

Sen Sern berjaya memenangi kerusi itu dengan jumlah undi sebanyak 9,439, menewaskan Supayyah yang memperoleh 9,302 undi.

Dalam pada itu, Supayyah berkata, laporan polis yang dibuat itu adalah salah satu proses perundangan bagi membolehkan bantahan dilaksanakan dan dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Katanya, dalam laporan polis berkenaan, pihaknya memohon SPR membuat pengiraan semula bagi undi yang ditolak membabitkan sebanyak 612 undi.

“Itu adalah satu jumlah yang sangat tinggi kerana jumlah majoriti di kerusi DUN itu adalah sebanyak 137 sahaja, ia sukar diterima akal dan dilihat tidak munasabah.

“Oleh itu, kami berpendapat adalah adil sekiranya perlu diadakan pengiraan semula mengikut undang-undang sepatutnya.

“Kami bukan bertindak sesuka hati tetapi ia termaktub dalam peruntukan Akta SPR,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here