Gaya hidup Jho Low ‘tak ingat dunia’ jadi tumpuan perbicaraan kes Najib

0
495

KEHIDUPAN mewah ahli perniagaan kontroversi yang kini menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang diibaratkan seolah-olah ‘tidak ingat dunia’ menjadi tumpuan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Dalam prosiding hari ini, peguam bela Najib, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah mengemukakan kepada mahkamah yang kemudian menayangkan rakaman video memaparkan pesta arak yang dianjurkan oleh Jho Low.

Memetik laporan Berita Harian, pesta itu dihadiri oleh bintang serta selebriti Hollywood yang membabitkan perbelanjaan jutaan dolar.

Muhammad Shafee yang menyoal balas saksi pendakwaan ke-12 iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir, turut menyentuh mengenai percutian mewah Jho Low di atas kapal layar mewah dan berpesta arak di sebuah kelab malam di St Tropez yang turut disertai selebriti Paris Hilton, selain membeli beberapa penthouse di Singapura.

Muhammad Shafee yang bertalu-talu menyoal Azmi mempersoalkan mengapa tindakan Jho Low yang hidup dengan bermewah-mewahan dan menjalani kehidupan seperti seorang taikun itu tidak menimbulkan perasaan curiga atau sebarang kebimbangan langsung kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk segera bertindak.

Peguam itu berkata, beliau mempersoalkan perkara itu kerana Azmi sendiri dalam keterangannya menyatakan bahawa Jho Low adalah individu yang menguruskan syarikat dari belakang tabir, dan adalah jelas ia sepatutnya menimbulkan kebimbangan syarikat kerana tindakannya itu menjerumuskan 1MDB ke arah kehancuran.

Azmi yang menjawab persoalan itu berkata, kehidupan peribadi Jho Low hal ehwal mengenai syarikat adalah dua perkara berbeza.

“Itu adalah kehidupan peribadi dia, kami tidak tahu dari mana datangnya sumber kekayaan dia dan kebimbangan kami adalah mengenai transaksi dalam syarikat, bukannya kehidupan peribadi dia.

“Ia adalah dua perkara yang berbeza sebab kehidupan dia bukannya masalah, saya hanya bimbang mengenai transaksi penipuan dalam 1MDB. Gaya hidupnya tidak ada kaitan dengan syarikat.

“Pada waktu itu saya tidak merasa curiga kerana jika dia mempunyai wang, dia boleh hidup mewah dan lembaga pengarah tidak mempersoalkannya” katanya.

Sementara itu, Azmi menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa dia dan pihak pengurusan berdiam diri dan tidak membangkitkan kegusaran berhubung kehidupan mewah Jho Low serta tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah disebabkan beliau menerima rasuah daripada ahli perniagaan itu.

Muhammad Shafee juga mencadangkan bahawa Jho Low tidak akan menjalani hidup mewah jika Azmi tidak meluluskan transaksi pembayaran AS$790 juta daripada 1MDB Energy Langat Limited kepada Aabar Investments PJS Ltd (syarikat palsu), bagaimanapun dinafikan oleh saksi.

Azmi berkata, beliau tidak mengetahui jika ada terdapat urusan lain di belakang, tetapi semua transaksi adalah berdasarkan perjanjian perniagaan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan esok bagi pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan selanjutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here