ADUN Bukit Batu sedia kerjasama susulan BN bakal kemuka petisyen

0
379

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) mahu mengemuka petisyen pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu sebagai satu proses biasa demokrasi dan hak mereka untuk berbuat demikian.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tebrau sedia bekerjasama dengan mana-mana dan pihaknya terbuka walaupun kemenangannya secara rasmi sudah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“SPR memang sudah umumkan saya sebagai ADUN baharu Bukit Batu. Keputusan yang ditetapkan SPR ini dibuat selepas melepasi beberapa ‘level’, proses dan prosedur sebelum diumumkan.

“Namun mereka berhak membuat petisyen tersebut di mahkamah kerana negara ini mengamalkan demokrasi. Kita tunggu arahan daripada pihak SPR dan mahkamah serta melakukan persiapan secukupnya, semua dokumen itu sudah ada.

“Kita akan bawa peguam kita dan orang parti yang berpengalaman untuk bantu kita,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Pakatan Harapan (PH) Johor di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di Taman Maju Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Perling, Liew Chin Tong; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung dan ADUN Senai, Wong Bor Yang.

Semalam, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, BN akan mengemukakan petisyen pilihan raya itu selepas Sen Sern berjaya

memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi menewaskan calon BN daripada MIC, S Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

Vigneswaran berkata, petisyen berkenaan akan difailkan di Mahkamah Tinggi selepas pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 600 kertas undi rosak dalam pengiraan di kawasan itu.

Mengulas lanjut, beliau akur sebarang keputusan yang akan dibuat nanti dan semua pihak juga perlu menghormati pengundi yang sudah membuat keputusan pada PRN Johor di kawasan berkenaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here