PRN Johor: BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

0
255

BARISAN Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, kerusi DUN Bukit Batu itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac.

Menurutnya, calon PKR tersebut berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi menewaskan calon BN daripada MIC, S. Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

Beliau berkata, petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi selepas pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 600 kertas undi rosak dalam pengiraan di kawasan itu.

“Sebanyak 650 undi rosak dan kita telah buat bantahan tetapi saya diberitahu bahawa bantahan itu seharusnya dibuat mengikut saluran-saluran sepatutnya.

“Maka, kita akan membuat rayuan di mahkamah supaya kita boleh memastikan bahawa pengiraan undi itu dibuat secara betul,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

Vigneswaran berkata, kemenangan lebih dua pertiga yang diperolehi pada PRN Johor kali ini bukti pengiktirafan rakyat negeri itu kepada calon BN.

Katanya, undi kaum India kembali kepada BN juga menunjukkan peningkatan dan bukan sekadar retorik semata-mata.

“Sokongan padu rakyat majmuk termasuk kaum Cina kepada calon BN dapat dilihat menerusi kemenangan pada PRN Johor dan Melaka.

“Kita melihat sokongan pengundi bukan kepada calon tetapi lebih kepada parti yang diwakilinya. Ini suatu perkara yang baik yang mana calon kita telah mendapat undi pelbagai kaum,” katanya.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, MIC menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Kita tidak ada banyak masa lagi namun terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengadakan PRU pada waktu yang sesuai. Jentera kita sudah mula bekerja.

“Bagi jumlah kerusi pula, kita akan bincang dalam kalangan kepimpinan BN. Meminta kerusi setakat untuk bertanding tidak berguna, jika mahu minta kerusi pun mestilah ada peluang tinggi untuk menang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here