PM pakai baju BN tinjau pusat mengundi satu kesalahan pilihan raya

0
519

KEHADIRAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau pusat pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di luar Sekolah Kebangsaan (SK) Perumahan Tampoi 2, Johor Bahru, hari ini, dilihat sebagai satu kesalahan.

Ini kerana dakwa kumpulan reformasi pilihan raya Bersih, Perdana Menteri memakai baju Barisan Nasional (BN) berwarna biru itu merupakan satu kesalahan dalam pilihan raya.

Penyelaras pemantau pilihan raya Bersih Ashraf Sharafi berkata, aktivis parti tidak dibenarkan membawa bahan kempen dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi.

Selain itu, katanya kempen juga tidak dibenarkan di mana-mana kawasan pilihan raya pada hari pengundian.

“Sesiapapun yang berkempen pada hari pengundian, termasuk perdana menteri telah melakukan kesalahan pilihan raya,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Ashraf memetik Seksyen 26(1)(f) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyatakan: “Bagi pihak mana-mana calon, merayu undi pemilih di dalam mana-mana bahagian pilihan raya bagi menyokong atau menentang mana-mana calon atau parti politik dalam sesuatu pilihan raya dengan apa-apa cara jua termasuk melawat pemilih di rumah atau di tempat kerja mereka atau menemu ramah orang ramai.”

“Semangat undang-undang pada hari pengundian tidak boleh berkempen,” kata Ashraf.

Dia juga mengambil maklum beberapa juru kempen terus menyiarkan bahan di media sosial pada hari pengundian, yang diakui Ashraf sebagai tiada peraturan jelas yang menangani hal tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memuat naik foto beliau meninjau proses pengundian itu dalam Facebook miliknya.

“Sempat meninjau kelancaran proses pengundian di Pusat Daerah Mengundi Taman Siantan (SK Perumahan Tampoi 2) DUN Kempas.

“Kepada Datuk Ramlee yang berdepan saingan tujuh penjuru di Kempas, saya doakan semoga kemenangan berpihak kepada kita,” kata Ismail Sabri melalui hantaran menerusi Facebook bersama-sama gambarnya di tempat itu.

Di Kempas, calon BN, Datuk Ramlee Bohani berdepan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nornekman Osman, Nur Faizal Abdullah daripada Perikatan Nasional, Napsiah Khamis daripada Parti Keadilah Rakyat (PKR) dan calon Bebas Azwan Abd. Rahman dan Hambali Munadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here