‘Kubu BN sudah mula pecah’ – Muhyiddin

0
438

USAHA-usaha yang telah dijalankan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac depan telah membuahkan hasil yang positif.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada acara kempen dan sesi pertemuan dengan rakyat terdapat petanda jelas yang menunjukkan sentimen dan minda pengundi di Johor telah berubah dan lebih memihak kepada PN.

Menurut beliau, rakyat Johor kini semakin memahami dan menerima baik ikrar yang telah diberikan PN kerana ia menyentuh isu-isu yang menyentuh kelestarian kehidupan mereka.

“Segala ikrar yang kita persembahkan kepada bangsa Johor jelas menyentuh isu asas utama membabitkan kelangsungan hidup mereka serta keperluan asas rakyat dan saya rasa penawaran kami (ikrar PN) menunjukkan keberkesanan meyakinkan hati pengundi.

“Baki kurang 48 jam ini, kita akan gunakan untuk teruskan kempen secara proaktif menerusi jentera kerja kami dan saya percaya segalanya membawa hasil yang diharapkan kepada PN pada hari mengundi 12 Mac ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau terdahulu hadir ke Majlis Dialog Pemuda Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Dewan Tok Mior, Endau di sini yang turut disertai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Latiff Ahmad.

Dalam dialog berkenaan, beliau menyentuh isu rumah mampu milik untuk golongan muda di Mersing yang masih menjadi masalah utama dan berjanji ia akan ditangani jika PN diberi mandat untuk mentadbir kerajaan negeri.

Menyentuh mengenai persaingan sengit antara PN dan Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Muhyiddin berkata, calon PN, Alawiyah Talib mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengundi di situ.

Menurut beliau, penerimaan baik rakyat di Endau terhadap Alawiyah yang lebih mesra dikenali sebahai Kak Awi itu adalah kerana beliau terkenal sebagai wakil rakyat yang banyak bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

“Walaupun wujud persaingan sengit secara keseluruhannya, saya percaya pecutan akhir kempen kami secara agresif dalam tempoh singkat ini mampu menambah sokongan pengundi di Mersing kepada PN,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan sentimen pengundi yang diperolehi itu dapat diterjemahkan dalam bentuk undi tetap pada Sabtu ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here