PRN Johor: Saya ‘kasihan’ dengan Najib, pemimpin UMNO belum diberi petunjuk – Peja

0
486

“SAYA sebenarnya rasa cukup ‘kasihan’ dengan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), ‘kasihan’ kepada pemimpin UMNO yang masih mendukung mereka.”

Demikian kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merasakan Najib dan pemimpin UMNO lain masih belum terbuka hati serta diberi petunjuk untuk kembali ke jalan yang benar.

Ahmad Faizal turut menyuarakan kehairanan apabila melihat masih ada sebilangan masyarakat terus mendukung Najib sedangkan telah terbukti bersalah di mahkamah.

Ini kerana, kata beliau, satu dunia dengan jelas telah menyaksikan kemungkaran dan kerosakan yang telah dilakukan menerusi penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.

“Saya terlalu kasihan kerana Allah masih belum membuka hati mereka, belum diberi petunjuk dan hidayah untuk kembali ke jalan benar.

“Saya hairan kalau satu dunia nampak dengan jelas kemungkaran dan kerosakan yang telah dibuat tetapi masih ada sebilangan di negara kita yang mampu mengeluarkan kalimah ‘bossku’ kepada seorang yang telah cuba membinasakan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Umum PN di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Parit Seraya, Pontian, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Berbeza dengan parti lain terutama Barisan Nasional (BN), Ahmad Faizal berkata, PN merupakan sebuah parti yang membawa konsep politik kasih sayang kepada seluruh rakyat.

Beliau berkata, PN menerusi Ikrar yang telah dibentangkan sebelum ini berhasrat membawa rakyat Johor keluar daripada segala kemelut yang melanda akibat pandemik COVID-19.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, PN adalah satu-satunya parti yang mementingkan calon berintegriti, bersih dan benci kepada rasuah.

“Saya melihat calon parti lain, bukanlah mereka ini perompak atau pencuri tetapi apa yang membezakan ialah mereka boleh mendekatkan diri kepada pemimpin yang berlaku rasuah, berani membuat penyelewengan dan sebagainya.

“Calon kita benci rasuah, sama-sama menandatangani ikrar menolak rasuah secara terbuka, ini jelas direkodkan dan di masa akan datang boleh tunjukkan semula,” jelas beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here