Ahmad Nawfal manfaat kempen hingga lewat malam

0
417

SEBELUM kempen pilihan raya menutup tirai menjelang tengah malam Jumaat ini, calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memanfaatkan kebenaran tempoh berkempen sehingga lewat malam dengan menampilkan pelbagai strategi bagi mendekati pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah meminda prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor dengan membenarkan ceramah, syarahan dan kempen hingga 12 tengah malam berbanding sehingga 10 malam sebelumnya.

Bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani daripada Perikatan Nasional (PN) Ahmad Nawfal Mahfodz, beliau mengadakan dan menyertai pertandingan futsal pada waktu malam kerana ia aktiviti yang digemari anak muda bagi mengisi masa lapang mereka pada waktu malam.

Selain kempen rumah ke rumah, program seperti aktiviti futsal itu akan membolehkan beliau mendekati masyarakat serta mengetahui keperluan dan masalah berbangkit mereka.

“Kempen hingga larut malam ini memang kelebihan buat semua yang bertanding, kerana kita ada lebih masa dan dapat bertemu lebih ramai pengundi,” kata Ketua Pemuda PN Johor berumur 38 tahun itu kepada Bernama.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata parti-parti politik mempunyai masa lebih panjang untuk berkempen apabila SPR melanjutkan tempoh berkempen sehingga 12 tengah malam.

“Di sebelah malam biasanya pengundi mempunyai masa, kerana pada waktu siang mereka bekerja. Parti politik yang bertanding perlu kreatif menggunakan kesempatan masa yang ada ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program,” katanya.

Bagaimanapun, pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata kempen rumah ke rumah atau secara bersemuka masih menjadi kaedah terbaik untuk menarik sokongan pengundi.

“Ia lebih berkesan kerana ia ada sentuhan hati ke hati. Kaedah lama ini masih lagi relevan kerana pengundi akan lebih mengenali calon bertanding apabila mereka sendiri bertemu dengan calon dan mengenali perwatakan mereka dengan lebih dekat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here