PRN Johor: Masih ada masa tumbangkan calon ‘heavyweight‘ di Benut

0
390

MESKIPUN berdepan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, tiga lagi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut yakin mampu memberi saingan sengit bagi merebut DUN tersebut pada ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih berbaki lima hari.

Berdepan dengan calon ‘heavyweight’ atau ‘nama besar’ mewakili Barisan Nasional (BN) itu adalah calon Perikatan Nasional (PN) Senator Datuk Isa Abd Hamid, Haniff @ Ghazali Hosman daripada PKR dan Iskandar Noor Ibrahim bertanding di bawah tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ketiga-tiga mereka yakin mempunyai kriteria serta kelebihan tersendiri untuk meraih sokongan pengundi DUN Benut yang meliputi seramai 28,165 pemilih berdaftar.

Isa, 55, berkata beliau mampu memberi saingan ‘50-50’ kepada setiap calon bertanding termasuk Hasni yang dilihat sebagai pencabar utama dalam pertembungan empat penjuru itu.

Selain menjadi Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Orang Asli sejak 2016 hingga kini, beliau berkata pengalaman terlibat dalam agensi kerajaan juga menjadi kelebihannya terutama daripada aspek pentadbiran.

“Kekuatan saya adalah anak jati Benut, lahir dan membesar di sini. Kelebihan saya juga pernah menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Benut pada 1998 hingga 2008. Selama 10 tahun itu, ramai anak murid yang mengenali saya,” kata bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang itu.

“Sepanjang saya berkempen juga berpuluh-puluh anak murid saya temui malah kaum Cina juga ada berjumpa,” katanya.

Hasni, yang merupakan Pengerusi BN Johor, telah tiga penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut sejak 2008 dan sebelum itu menjadi Ahli Parlimen Pontian selama satu penggal sejak 2004.

Haniff, 42, pula mengakui berdepan pesaing hebat terutamanya Hasni, namun beliau yakin dapat menarik undi penduduk di kawasan tersebut memandangkan turut dikenali ramai melalui khidmatnya sebagai bekas Ahli Majlis Zon Benut sebelum ini.

“Saya yakin tetapi tidaklah pandang remeh dan tetap kerja sedaya upaya kerana Menteri Besar (Hasni) bukanlah calang-calang, sudah tiga penggal jadi Ahli DUN (Benut). Cumanya, orang mungkin mahukan suatu pembaharuan daripada orang baharu sebab (pentadbiran) dah terlalu lama,” kata Ketua Cabang PKR Pontian itu.

Iskandar Noor, 66, pula berkata walaupun pentas PRN Johor merupakan keterlibatan buat pertama kali dalam arena politik tetapi setiap calon mempunyai peluang untuk memenangi hati pengundi melalui pendekatan dan strategi masing-masing.

“Calon baharu ini kelebihannya akan bermula baharu… jadi senang ‘kertas kosong’ ini kita nak rangka setiap perancangan dan itu perkara yang penting,” kata anak jati Benut itu yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sistem Maklumat Perniagaan dari Universiti East London.

Mengenai pembangunan yang ingin diketengahkan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat Benut yang baharu, ketiga-tiga mereka menetapkan beberapa fokus utama bagi kesejahteraan serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.

Isa menggariskan enam agenda utama antaranya menambah baik aktiviti penternakan kerang termasuk daripada segi pemasaran, memperbanyakkan perumahan dengan harga mampu milik dan mewujudkan hab perniagaan berkonsepkan barangan terpakai sebagai usaha memacu sektor perniagaan serta pelancongan di Benut.

Seiring dengan Tawaran Tindakan PKR bagi PRN Johor, Haniff mahu membasmi kemiskinan dengan memperbaiki setiap dasar berkaitan kebajikan rakyat serta menawarkan pelbagai program kemahiran khususnya kepada golongan wanita bagi menjana pendapatan mereka.

Iskandar Noor yang juga perunding hartanah beriltizam ingin memperkembangkan potensi sektor ternakan hasil sungai serta pertanian bagi meningkatkan produktiviti penduduk tempatan dalam menceburi bidang itu, selain menaik taraf infrastruktur termasuk jaringan internet di Benut.

Hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada Sabtu ini manakala pengundian awal akan berlangsung esok.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here