Muhyiddin antara faktor kekuatan, kelebihan PN

0
200

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KETOKOHAN dan rekod bersih Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana sehingga kini rakyat Johor sehingga kini masih mengingati jasa Muhyiddin di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Apabila kita pergi di mana-mana di Johor, orang masih mengingati Tan Sri Muhyiddin dan ada keyakinan terhadap beliau. Ini kerana sumbangan beliau selama menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar.

“Beliau merupakan antara Menteri Besar yang paling berjaya dalam sejarah moden Johor. Selain itu beliau juga mempunyai rekod bersih dan pengundi akan membanding-bandingkan legasi beliau sebagai Menteri Besar dengan rekod pemimpin parti lain yang rasuah.

“Jadi ini yang akan dilihat pengundi. Selain itu beliau juga menjadi Pengerusi PN dan Presiden Bersatu dan ini juga memberi kelebihan,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan Bersatu Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

Saifuddin berkata, pengundi juga akan menilai prestasi dan kecemerlangan Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri.

“Pengundi tahu Tan Sri Muhyiddin jatuh dari kerusi Perdana Menteri akibat mainan politik bukan atas kesilapan apa-apa dan orang faham keadaan ini. Pengundi cerdik dan faham apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, beliau yang merupakan Pengerusi Bersatu Pahang berkata, pihaknya menjadikan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di zon tengah sebagai ‘DUN angkat’ pada PRN tersebut.

Selain itu beliau juga dilantik menjadi Pengarah Bilik Gerakan PN Zon Selatan yang menjaga 17 kawasan DUN.

“Setakat ini saya sudah pergi melawat separuh daripada DUN yang saya jaga dan mendapati, kalau nak banding dengan PRN Melaka, persediaan jentera di PRN Johor 10 kali lebih baik,” katanya.

Mengenai sambutan pengundi selepas seminggu berkempen, beliau berkata, amat memberangsangkan namun tidak mahu terlalu yakin sebaliknya terus berusaha keras untuk menang PRN Johor.

“Kita mengetengahkan kombinasi calon yang pelbagai. Ada yang berpengalaman, bekas Menteri Besar Johor, bekas Exco, bekas ahli majlis dan golongan profesional. Ini termasuk calon bukan Melayu yang ditampilkan PN,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here