Kedai ‘top up’ dadah terbongkar

0
385

SINDIKET pengedaran dadah dikesan menggunakan taktik terbaharu apabila menjadikan kedai ‘top up’ atau tambah nilai prabayar telefon sebagai tempat pengedaran dadah dan kegiatan itu terbongkar dalam serbuan polis di Johor, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kedai berkenaan yang dilengkapi empat bilik juga digunakan sebagai stor penyimpanan barangan larangan itu bagi menampung bekalan kira-kira 43,295 penagih dadah.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM746,890 membabitkan 1.7 kilogram (kg) pil ekstasi, 1.35kg ketamin dan 7kg pil erimin 5.

“Dua lelaki tempatan yang berusia 31 dan 34 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan. Siasatan awal mendapati kedai telefon bimbit itu digunakan sebagai stor penyimpanan dadah sejak November lalu.

“Polis turut merampas dua kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM37,900 serta matawang Singapura sejumlah RM16,340 dan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM928,130,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek berkenaan memiliki rekod berkaitan dadah.

“Kami masih mengesan ahli sindiket pengedaran dadah itu selain menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dari mana mereka memperoleh bekalan dadah.

“Suspek direman selama enam hari bermula 4 Mac hingga 9 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here