Masyarakat Orang Asli Kampung Sentosa mahu isu tanah adat diselesaikan

0
472

SIAPA yang ‘naik’ tu, janganlah lupa kami Orang Asli di sini,” itu luahan seorang lelaki masyarakat Orang Asli, Ayu Enn kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ayu, 52, yang merupakan Tok Batin Perkampungan Orang Asli di Kampung Sentosa, Lenga di sini berkata masyarakat di situ hanya mahu hak mereka terutama urusan melibatkan tanah adat, diselesaikan.

Mewakili suara penduduk, beliau mengakui isu pemilikan tanah adat masih berlarutan walaupun pelbagai permohonan telah dikemukakan.

“Kita berharap sangatlah mana-mana agensi (yang terlibat) itu selesaikan masalah ini. Sepatutnya tanah adat itu dah tak payah memohon, tinggal JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) pergi memantau dan bawa agensi yang terlibat dengan tanah itu wartakan sekali,” katanya yang ditemui Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ayu mengakui tidak timbul masalah melibatkan keperluan asas seperti air, elektrik, pendidikan dan hospital dalam kalangan penduduk di perkampungan itu memandangkan kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan manakala keperluan lain turut dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Senada dengan Ayu, Amer Sidan, 57, turut meluahkan kekecewaan apabila permintaan Orang Asli melibatkan tanah adat masih belum dipenuhi dan tidak ubah seperti di zaman generasi sebelum ini.

Beliau berkata Tok Batin sebelum ini juga pernah meminta kelulusan permohonan tanah adat di kawasan itu namun masih belum ada kata putus daripada mana-mana pihak.

“Dalam PRN kali ini, saya minta YB (wakil rakyat) daripada parti yang menang, toleh-tolehlah ke belakang. Mana-mana pun (parti) yang menang, janganlah buat Orang Asli macam ni. Kita kan Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Siah, 52, berkata kaum wanita di kampung itu pula mengharapkan mereka diberikan kemahiran seperti menjahit dan membuat kraftangan.

Menurut Siah, mereka pernah mengemukakan permohonan bagi bantuan mesin jahit dan peralatan menghasilkan kraftangan beberapa tahun lepas namun hingga kini belum menerima jawapan daripada mana-mana pihak.

“Mana-mana (calon) yang menang, saya minta bantulah wanita di sini…sebab kita kat sini agak payah (untuk dapat peralatan).

“Kita memang selalu berharap (bantuan), kita teringin nak belajar tetapi kita tak ada kemampuan nak beli, (jadi) susah nak belajar,” katanya.

Kampung Sentosa merupakan perkampungan Orang Asli yang terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dengan rata-rata penduduk menjana pendapatan daripada hasil hutan.

PRN Johor menyaksikan bekas Menteri Besar Johor yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Perikatan Nasional ditentang calon Barisan Nasional Ismail Mohamed, Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanah Air dan calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Nur Afiqah M Zulkifli.

 Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 12 Mac ini manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here