‘Demi pemimpin berintegriti, berkebajikan’ – Hadi Awang doa kemenangan PN dalam PRN Johor

0
552

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap semua 56 calon Perikatan Nasional (PN) akan memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Menurut beliau, harapan itu disandarkan kepada gerak kerja jentera PN yang setakat ini berada pada tahap yang sangat baik.

“Perkembangan positif ini sekali gus mampu menarik pengundi untuk memberikan sokongan kepada calon-calon PN.

“Insya-Allah semoga segala usaha dan amal soleh yang dilakukan oleh jentera-jentera diterima oleh Allah dan beroleh kemenangan dalam PRN Johor.

“Ini demi memastikan pemimpin yang dipilih untuk mentadbir Kerajaan Negeri Johor dalam kalangan yang berintegriti dan berkebajikan,” katanya dalam kenyataan dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.

Dalam masa yang sama, Abdul Hadi berkata beliau juga berkesempatan melawat Bilik Gerakan Umum PN bagi mendengar taklimat tentang perkembangan terkini situasi PRN Johor, semalam.

Selain Pas, komponen parti dalam PN ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan).

Pada PRN Johor kali ini, Pas bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (33), dan Gerakan (lapan).

PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac ini, dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 8 Mac.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here