[VIDEO] Bangsa Johor bakal nikmati pelbagai limpahan pembangunan, tiada yang tercicir – Muhyiddin

Perikatan Nasional lancar ikrar 'Demi Bangsa Johor'

0
549

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Ikrar Perikatan Nasional (PN) bertemakan ‘Demi Bangsa Johor’ yang berlandaskan kepada lapan tunjang utama untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Tunjang utama itu akan dilaksanakan mengikut 24 strategi serta 145 pendekatan yang ditetapkan jika parti gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

Lapan tunjang utama itu adalah Kepimpinan Berintegriti Dan Bebas Rasuah; Keutuhan Ekonomi; Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup; Keprihatinan Kepada Rakyat; Kesejahteraan Sosial; Kecekapan Infrastruktur; Kerancakan Sektor Pelancongan dan Kelestarian Alam Sekitar.

Muhyiddin berkata, PN akan memberi tumpuan kepada keutuhan ekonomi Johor melalui Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 yang menyeluruh dan holistik.

Katanya, pelan ini mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat dan menumpukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar.

“Bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri Johor, PN menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah serta memperluaskan Program Jualan Prihatin Rakyat sefrta meneruskan pengagihan bakul makanan Johor Prihatin secara berkala.

“Ia bertujuan memperkasa penyelarasan pengagihan bantuan prihatin rakyat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk OKU,” katanya ketika berucapa di Majlis Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional ‘Demi Bangsa Johor’ di Johor Bahru, Johor, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri pemimpin utama parti gabungan PN.

Bagi memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dan hab digital negara dengan menarik pelaburan syarikat teknologi antarabangsa, Muhyiddin berkata, pembangunan mampan ekonomi Johor akan disokong melalui pendigitalan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Selain itu penyediaan hab PMKS dan Skim Prihatin PMKS, pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor diberikan untuk tempoh lima tahun agar usahawan PMKS dapat terus menjadi antara pemangkin utama ekonomi Johor,” katanya.

Bagi membantu golongan penjaja yang terkesan dengan pandemik Covid-19, bantuan khas kepada penjaja akan disediakan dalam bentuk penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan untuk tempoh selama lima tahun.

Selain itu, bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor juga akan disediakan.

“Bagi merangsang pemulihan ekonomi negeri Johor, PN menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera membuka sempadan negara bagi merancakkan semuala kegiatan ekonomi dan tentunya rakyat Johor yang bersempadan degan Singapura tentunya akan menerima banyak manfaat limpahan ekonomi apabila sempadan negara dibuka.

Selain itu, Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor akan diwujudkan bagi menggilap generasi pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda.

Antara tawaran lain yang bakal dinikmati rakyat Johor ialah perkhidmatan kesihatan yang akan dipertingkatkan melalui pembinaan infrastruktur dan penyediaan Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Katanya, seiring dengan keperluan akses internet, liputan internet 5G juga akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di pusat tumpuan orang ramai serta menggalakan sektor pelancongan negeri Johor.

“Bahkan, bantuan komputer riba dan bantuan tunai juga akan disediakan untuk anak-anak muda yang akan melanjutkan pengajian,” katanya.

Katanya, bagi memastikan tawaran ikrar itu dipenuhi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai oleh anak jati Johor daripada golongan profesional dan berpengalaman akan ditubuhkan.

“Ini untuk memastikan ikrar yang dilafazkan untuk rakyat di negeri Johor ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus.

“Saya menyeru agar seluruh Bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat dan peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, cekap dan prihatin rakyat. Undilah Perikatan Nasional demi masa depan Bangsa Johor yang gemilang, makmur dan sejahtera,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here