[VIDEO] Bukit Kepong bakal jadi pusat pelancongan, hab pendidikan – Sahruddin

0
530

MASYARAKAT di sekitar Pagoh dan Muar, Johor diajak untuk bersama-sama menjayakan perancangan memajukan sektor pelancongan dan pendidikan sedia ada di situ, ke tahap lebih tinggi.

Ketika ini, Parlimen Pagoh yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dan Bukit Pasir serta kawasan sekitarnya sudah pun menjadi tumpuan bagi kedua-dua sektor berkenaan, tetapi masih perlu dipesatkan lagi.

Bagi penyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal, kelebihan yang dimiliki itu sebenarnya memberi rahmat kepada penduduk setempat berikutan kedudukanya yang dianggap cukup strategik.

Dr Shahruddin ketika mengunjungi masyarakat Orang Asli Kampung Sentosa

“Bukit Kepong sangat istmewa, pertamanya adalah kedudukannya yang dipisahkan dengan Sungai Muar di tengah-tengahnya, jadi di sini sangat sesuai untuk kita majukan pelancongan.

“Itu memang salah satu perancangan saya iaitu pelan pembangunan pelancongan di Bukit Kepong. Kita kena pesatkan, kita kena hebatkan,” katanya yang akan bertanding di kawasan yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

Katanya, apabila tiba musim memancing udang, dianggarkan terdapat antara 100 hingga 200 perahu pemancing tegar udang yang datang ke situ memancing.

Selain itu, kawasan Pagoh juga mempunyai tarikan produk pertanian berskala besar melalui projek Dusun Nukleas yang diperkenalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan Menteri Pertanian.

Dr Sahruddin ketika bermesra dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Sentosa, hari ini.

“Kami ada Sungai Muar, ada dusun durian dan ada hab pendidikan. Bahkan, antara penggerak Zapin di Johor juga adalah orang Muar dan orang Pagoh. Jadi, kita kena pastikan pembangunan pelancongan dan pembangunan pendidikan di Pagoh dipesatkan,” katanya.

Pembangunan pendidikan itu merujuk kepada hab universiti Pagoh. Parlimen di bawah pimpinan Muhyiddin ini adalah satu-satunya parlimen yang mempunyai lima universiti dan lima pusat pengajian tinggi.

Mengulas mengenai peluangnya untuk mempertahankan kemenangan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018, Sharuddin menegaskan, beliau yakin pengundi di situ sangat bijak menilai pemimpin yang kerap bersama rakyat.

“Mereka akan menilai siapa pemimpin terbaik mereka, siapa yang turun padang, siapa yang membantu ketika mereka susah. Jadi saya rasa masyarakat boleh menilai saya sepanjang saya berkhidmat di sini selama sepenggal,” katanya.

Bekas menteri besar Johor ke-17 ini menyeru kira-kira 37,000 pengundi di Bukit Kepong supaya turun menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi dengan memilih pemimpin yang jujur.

“Bangsa Johor orang yang hebat, bangsa Johor tinggi agamanya, pilihlah pemimpin hebat dan tinggi agamanya,” katanya yang bakal berdepan cabaran empat penjuru bagi merebut kerusi Bukit Kepong. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here