Banjir: Air hingga paras bumbung, 6 sekeluarga tidur tepi jalan

0
537

SEBANYAK enam keluarga yang membabitkan 30 orang mangsa banjir tidur dalam keadaan kesejukan sejak dua malam lalu apabila terpaksa bermalam di tepi jalan setelah rumah mereka dinaiki air di Kampung Gual Mesa, Pasir Mas, Kelantan.

Ikhtiar terdesak mereka tidur di tepi jalan adalah bagi menyelamatkan diri selepas paras air meningkat sehingga paras bumbung rumah masing-masing.

Berkongsi pengalaman tersebut menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, salah seorang mangsa, Anira Ibrahim, 27, memohon bantuan bekalan pakaian apabila mereka terpaksa memakai pakaian basah sejak dua hari lalu.

“Kami terkepung di sini sehelai sepinggan dari kelmarin pakai baju basah kerana tak sempat ambil apa-apa dalam rumah, air naik cepat sangat.

“Hanya mampu selamatkan diri dan anak-anak. Paling kesian budak-budak kesejukan,” luahnya menerusi hantaran itu.

Sementara itu ketika ditemubual Berita Harian, Anira berkata, mereka pada awalnya berteduh di sebuah gerai sebelum lokasi berkenaan turut dinaiki air yang memaksa mereka berpindah ke lokasi lain.

Foto FB Aniera Ibrahim

“Kami diberi sebuah khemah daripada seorang penduduk yang mana berpakat menempatkan anak-anak kecil di dalam khemah berkenaan. Manakala yang dewasa terpaksa menahan kesejukan bermalam di atas hamparan yang dibentang di tepi jalan.

“Rumah kami terperangkap, nak ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga sudah penuh, selain jalan yang menghubungkan lokasi kami berada, dinaiki air sehingga 0.8 meter,” katanya.

Tambahnya, biarpun mereka masih boleh bertahan, namun situasi sukar masih dihadapi mereka apabila bekalan makanan yang sempat diselamatkan daripada dapur masing-masing semakin berkurangan.

“Insya Allah kami masih boleh bertahan, namun sangat mengharapkan bantuan makanan kerana kami sendiri terpaksa berjimat dengan menanak nasi daripada beras yang sudah basah akibat ditenggelami air,” ujarnya.

Jelasnya, mereka masih belum menerima sebarang bantuan sehingga Anira terpaksa meminta tolong melalui laman Facebook setelah buntu memikirkan cara lain.

Seorang lagi mangsa Fatimah Nik Lah, 53, berkata dia reda dengan apa yang terjadi kerana sudah tidak larat, selain mengakui berada dalam kesakitan susulan sakit di bahagian kaki.

“Selain saya, suami, Ismail Talib, 60, juga tidak begitu sihat tetapi terpaksa berteduh dan bermalam dalam kesejukan, malah ada masanya kami terlelap dalam kebasahan akibat tempias hujan kerana gerai ini tidak berdinding,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here