Anak muda keliru punca tidak mengundi: Calon PN Parit Yaani

0
294

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya menjadi medan untuk memburukkan satu sama lain sebaliknya perlu menjadi medan politik yang sihat sekali gus membentuk budaya politik baharu.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, cara berpolitik lama dengan menyerang antara satu sama lain perlu dihentikan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PN Pusat itu berkata, keadaan itu menjadi antara faktor yang menjauhkan anak muda untuk keluar mengundi.

“Kita kena tahu dan kenal pasti kenapa mereka tidak keluar mengundi, kadang-kadang mereka keliru. Kenapa politik menjadi medan pertempuran, bergaduh dan bermacam-macam lagi.

“Jadi kita kena kenal pasti sebab adik-adik kita ini tidak mahu keluar mengundi, takut ke, tak ‘clear’ ke, tidak rasa ‘confident’ ke. Ini peranan kita sebagai abang-abang untuk beri penerangan yang meyakinkan.

“Saya cuba ketengahkan politik lebih segar, politik baharu, nafas lebih segar, kita generasi muda bawa politik yang menerangkan. Apa yang kita boleh bawa apa kepada masyarakat,” katanya dalam Program Apa Khabar di Parit Yaani, Batu Pahat, malam tadi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Johor itu berkata, penerangan perlu diberi kepada anak muda bahawa PN tidak membawa politik tikam menikam tetapi menawarkan kerajaan yang stabil dan bersih.

Jelas beliau, sekiranya mana-mana calon menang pilihan raya dengan budaya politik tidak sihat dengan mencaci dan menghina lawan, satu pembentukan budaya politik yang buruk akan berlaku pada masa depan.

“Kalau kita menang dengan memburukkan orang lain, itu sebenarnya satu pembentukan budaya politik dan bila jadi kerajaan akan dikutuk dan dimaki orang, ini tidak berbaloi. Kita mahukan negeri dan negara yang stabil,” katanya.

Beliau juga kesal kerana terdapat parti lawan yang menyuburkan budaya tidak malu apabila menampilkan pemimpin dengan gelaran ‘kluster mahkamah’ untuk berkempen dalam PRN Johor.

“Anak muda ada terkesan dengan kluster mahkamah. Ya, sebenarnya ini sangat mengelirukan, orang yang duduk dalam kluster mahkamah selamba ja keluar berkempen. Anak muda pasti kecewa, kenapa orang ini macam tidak tahu malu, oh ‘tagline’ Malu Apa Bosku, memang takde malu la,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here