Pas Johor terkilan dengan Najib tanding bebas

0
412

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PAS Johor terkilan dengan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, Najib Lep yang membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, parti itu sudah pun menawarkan Najib yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas negeri bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lain.

Abdullah yang juga calon kerusi DUN Pulai Sebatang berkata, Najib menolak untuk bertanding di kerusi lain dan tetap mahu bertanding kerusi DUN Bukit Pasir kerana merasa kekuatannya di situ.

“Walaupun tidak dicalonkan kembali di kerusi DUN Bukit Pasir, Pas Pusat atau negeri tidak pernah menyisihkan Najib.

“Pas Johor meletakkan Najib Lep sebagai calon di DUN lain yang berpotensi dimenangi mengikut kajian yang dibuat namun beliau menolak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

Semalam, Najib menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Pasir selepas Pas tidak mencalonkannya di kawasan tersebut yang disandangnya sebelum ini.

Susulan itu Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keahlian parti Najib gugur secara automatik kerana tindakannya itu membelakangkan arahan parti.

“Keputusan menjadi calon bebas dan menentang calon Pas di kerusi berkenaan bertentangan dengan arahan dan keputusan parti,” kata Tuan Ibrahim.

Abdullah berkata, sebagai ahli parti Najib sepatutnya mengikut ketetapan dibuat kepimpinan Pusat yang mahukan beliau bertanding di kerusi DUN lain dan calon lain ditempatkan di DUN Bukit Pasir.

Katanya, keputusan untuk tidak mencalonkan Najib di kerusi berkenaan dibuat kerana masalah yang dihadapi beliau dengan jentera di DUN berkenaan boleh menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk melakar kemenangan.

Sementara itu, Najib ketika dihubungi memaklumkan, belum menerima sebarang surat memaklumkan telah dibuang daripada Pas susulan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas dalam PRN Johor. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here