Ahli politik perlu belajar jadi ‘pemancing rohu’

0
380

APA beza dan persamaan ahli politik dan pemancing?. Kedua-duanya ada persamaan ketara daripada aspek kategori. Ada pemancing tegar, pemancing sosial, pemancing suka-suka yang hanya setahun sekali mencari joran di dalam stor.

Bahkan ada juga peminat aktiviti memancing tetapi tiada ilmu di lapangan, hanya sekadar menonton rakaman video di youtube atau menonton siaran dokumentari.

Mereka boleh bersembang soal ikan dan aktiviti memancing tetapi adakah mereka boleh memancing?. Sama juga dengan ahli politik, ramai yang boleh bersembang tetapi ada mereka benar-benar boleh melakukan kerja-kerja politik.

Baiklah, kita hanya fokus kepada skop lebih kecil dengan memilih kajian ke atas sikap pemancing kolam air tawar, khas bagaimana memancing ikan rohu (Labeo rohita).

Ia bukannya semudah mencampakkan umpan dan berharap ia akan mengena secepat mungkin dan dimakan ikan bersaiz besar. Berdoa pancing akan kerap disentap dan gah membawa pulang hasil lumayan.

Tidak semudah itu. Pemancing perlu tahu bila kali terakhir ikan dilepaskan di kolam berbayar, jenis umpan dan paling penting, di mana umpan perlu dicampak.

Nampak remeh tetapi semua itu menjadi faktor penentu. Kebiasaannya, pemancing tegar rohu sudah pakar dalam soal ini, tetapi mereka tetap perlu membina ‘rumah’, menunggu untuk tempoh tertentu sebelum mengaut hasil.

Membina ‘rumah’ itu bermaksud, mencampak atau membaling umpan sama di tempat yang sama berulang kali. Mungkin memakan masa sehingga sejam, barulah dapat merasainya pertarungan umpan disentap rohu.

Kenapa? Kerana selepas kerap menabur umpan di tempat sama, kawasan itu akan menjadi lubuk makanan dan akan menarik perhatian rohu. Apabila sudah wujud kepercayaan kawasan itu adalah lubuk makanan, rohu akan berkumpul di tempat yang sama. Ketika inilah pemancing akan meraih hasil.

Ada juga pemancing yang cepat hilang sabar, kerap bertukar jenis umpan dan beralih lokasi.

Dalam soal politik, konsep yang sama juga boleh dipraktikkan iaitu mestilah membina hubungan istimewa tadi untuk tempoh yang lama. Bukannya sekadar bermusim, bak kata sindiran – itulah orang politik, hanya nampak muka pada musim pilihanraya.

Hubungan dengan pengundi ini mestilah kukuh dan berterusan. Kerana mereka inilah yang akan menentukan nasib seorang ahli politik.

Santuni mereka, dengar suara hati mereka dan bantulah sedaya upaya tanpa mengira kaum, agama, parti atau pun adakah kita mempunyai jawatan parti atau tidak. Percayalah berbuat baik dibalas baik.

Mereka akan membalas segala jasa baik anda selama itu dengan sesuatu yang cukup istimewa iaitu melalui kertas undi.

Sebab itulah, jika diteliti, ada ahli politik bertukar parti tetapi masih mampu menang besar di kawasan yang sama. Kenapa ini berlaku?

Kerana ahli politik itu sudah membina reputasi cukup baik, berkhidmat cemerlang, rakyat berpuas hati. Itu membuktikan, rakyat memilih pemimpin mengikut kredibiliti, keupayaan seseorang pemimpin, bukannya parti yang diwakili.

Lihatlah bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin, 75, sentiasa diterima masyarakat di Parlimen Pagoh, Johor sejak 1978 selepas menang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) dan kini sebagai wakil Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN ini memang disayangi rakyat. Bahkan ketika Muhyiddin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, beliau menang selesa.

Cuma pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini, Muhyiddin menarik diri untuk mempertahankan kerusi di Gambir, bagi memberi ruang kepada pemimpin lain.

Bekas perdana menteri kelapan ini mahu lebih fokus kepada peringkat pusat, memantapkan lagi prestasi parti gabungan membabitkan Bersatu, PAS dan Gerakan.

Imej bersih yang dibawa Muhyiddin nyata memikat hati rakyat. Tidak hairanlah beliau digelar sebagai ‘abah’ oleh segenap lapisan rakyat, tanpa mengira latar belakang usia.

Konsep yang sama diterapkan Muhyiddin kepada barisan kepimpinan PN untuk memenangi hati rakyat. Berbekalkan slogan bersih, berintegriti dan anti rasuah, nyata aura itu menggusarkan lawan.

Lawan gusar kerana mereka masih ditakuk lama yang bergantung harap kepada pemimpin tercemar, dan dilabel sebagai kluster mahkamah untuk terus mengemudi parti.

Rakyat Johor sebenarnya sudah cukup bijak menilai dan memilih. Sudah pastinya mereka mahukan pentadbiran kerajaan negeri yang bersih. Buatlah keputusan dengan matang. Jangan jadi seperti pemancing yang emosional, kelak nanti diri sendiri yang rugi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here