Shahruddin, Hasni, Maszlee, siapa bakal MB Johor?

0
443

HARI ini secara rasminya pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuka selepas tamat proses penamaan calon bagi semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gelanggang sudah dibuka, calon juga sudah bersiap sedia, cuma menunggu masa pihak mana mendapat sokongan majoriti untuk meraih gelaran juara dan membentuk kerajaan negeri.

Mungkinkah akan ada menteri besar baharu yang dilantik sebagai nahkoda mengemudi pentadbiran negeri Johor ataupun, Datuk Seri Hasni Mohammad sekali lagi akan diangkat oleh Barisan Nasional (BN) jika mereka menang.

Semuanya boleh menjadi serba baru dan itu bukannya satu kejutan. Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) juga baru ditubuhkan beberapa bulan lalu dan pertama kali turun ke gelanggang.

Begitu juga dengan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang tidak mahu ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan. Paling menarik, tentunya fokus lebih terarah kepada pengundi baru atau pengundi kali pertama yang termasuk dalam kategori Undi-18.

Undi-18 merujuk kepada pengundi berusia 18 tahun ke atas yang disenaraikan secara automatik di dalam senarai pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Golongan ini tidak sempat beraksi ketika PRN Melaka pada 2021 dan bakal turun julung kali pada PRN Johor.

Berbalik kepada isu siapa bakal menjadi MB Johor tadi, agak mudah meneka kemungkinan besar Hasni sekali lagi bakal diberi tali teraju negeri. Ada juga desas desus mengatakan kedudukan penyandang kerusi DUN Benut ini masih tidak menentu selepas mendakwa wujud ‘watak pengacau’.

Walaupun tidak secara rasmi, situasi itu agak mudah diteka selepas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membuat kemunculan semula dan bertanding di DUN Rengit.

Bagi gabungan Perikatan Nasional (PN), situasi agak sama apabila belum ada sebarang pengumuman rasmi siapa bakal menjadi calon MB Johor. Semua mata tertumpu kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini berjanji akan mengumumkan calon MB bagi PN tidak lama lagi.

Sekali lagi banyak mata tertumpu kepada bekas MB Johor, Datuk Dr Shahruddin Jamal yang kini bakal mempertahankan kerusinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong yang berada di dalam Parlimen Pagoh.

Dr Shahruddin memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,273 undi ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018, ketika bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH). Namun, hanya sempat mentadbir negeri selama 10 bulan sebelum kerajaan negeri tumbang pada Februari 2020.

Kali ini, beliau bertanding di atas tiket PN dan bakal ditentang bekas ADUN Bukit Serampang, Ismail Mohamad yang mewakili BN serta pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Nurafiqah M Zulkifli serta calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Md Taib Md Suhut.

Mengulas mengenai desas desus beliau adalah antara calon pilihan sebagai MB Johor jika PN memerintah, Dr Shahruddin dengan merendah diri menegaskan, isu itu ditentukan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Baginya, sebagai seorang ahli parti, beliau menerima sebarang keputusan parti kerana yakin, keputusan besar itu dibuat dengan pertimbangan secukupnya.

Di peringkat Pakatan Harapan (PH), juga belum ada petanda jelas walaupun sebelum ini, tersebar dakwaan Dr Maszlee Malik bakal dinobatkan sebagai MB Johor jika gabungan itu diberi mandat oleh rakyat.

Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam dan kali ini akan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi merebut kerusi DUN Layang-Layang dalam pertembungan empat penjuru.

Walaupun perkembangan itu dilihat kurang disenangi rakan gabungan lain termasuk Amanah, MUDA dan DAP, tetapi jika dinilai daripada aspek pengalaman termasuk di peringkat pusat, PH dilihat tidak mempunyai calon lain untuk diketengahkan.

Siapa pun yang bakal dinobatkan sebagai pengemudi tampuk kerajaan negeri, semuanya akan ditentukan melalui kuasa undi rakyat pada 12 Mac ini.

Dr Shahruddin, Hasni dan Maszlee perlu memastikan gabungan parti mereka menang dengan majoriti besar dan kemudianya barulah boleh memikirkan langkah seterusnya untuk menyarung ‘jersi MB’ selaku kapten kerajaan Johor Darul Ta’zim (JDT). SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here