[VIDEO] Usah persoal kelayakan calon, pastikan PN menang

0
299

JENTERA dan penyokong Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dinasihatkan supaya tidak mempersoalkan tentang kelayakan calon-calon yang dipilih untuk mewakili parti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, langkah seterusnya yang patut diambil adalah memastikan kemenangan semua calon PN.

Menurut beliau, apa yang lebih penting adalah penerimaan terhadap calon-calon PN.

“Jangan membazirkan masa kita membicarakan layak dan tidak layak, mereka ini sudah disaring.

“Kita gerakkan usaha kita, ini masa depan kita, masa depan negara, masa depan Johor.

“Kalau ada masalah timbul sehingga tidak bergeraknya bilik gerakan, ini petanda tidak baik.

“Tetapi selepas umumkan kita gerakkan terus, jangan bicarakan muka handsome tak handsome, layak atau layak dan macam-macam persoalan ditimbulkan sehingga sebahagian kita rasa agak kecewa,” katanya ketika berucap pada majlis memperkenalkan calon-calon PN bagi PRN Johor di Skudai, hari ini.

Seramai 41 daripada 56 calon yang ditampilkan PN adalah muka baharu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengingatkan bahawa kemenangan mana-mana calon sama ada dari Bersatu, PAS atau Gerakan adalah kemenangan bersama bagi PN.

“Apabila kita berada dalam satu saf, saf kita adalah PN tak kira siapa tetapi datang daripada wadah PN kita nak tentukan setiap calon yang terpilih kita terima dengan hati yang terbuka.

“Ini penting kerana tempoh masa untuk berkempen terbatas.

“Kita tak ada tempoh masa setahun atau bulan, celik pejam dah selesai pilihan raya,” jelasnya sambil meminta agar sokongan padu diberi kepada semua calon PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here