Masih tiada perpaduan walaupun 3 parti Melayu dominasi kerajaan

0
410

ORANG Melayu sejak dari dahulu dibayangi sentimen jika UMNO tidak memerintah Malaysia, maka bagns terbesar di Malaysia itu akan terabai.

Penganalisis politik dari Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat berpandangan, walaupun selepas tiga parti Melayu iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mendominasi kerajaan, perpaduan dalam kalangan orang Melayu masih belum kelihatan.

Beliau mengibaratkan situasi itu seperti ‘tiga beradik’ yang mengejar satu perempuan yang sama.

Menurutnya, penyatuan politik antara orang Melayu tidak mungkin terjadi, sama juga seperti perpaduan dalam kalangan orang Cina, India, Kadazan atau Dayak.

Ini kerana katanya, di Malaysia ada kebebasan dan rakyatnya tidak terikat, terutamanya daripada aspek politik.

“Saya rasa ancaman paling besar kepada hubungan kaum kita seperti difahami ramai rakyat Malaysia adalah persaingan politik yang tidak kena, tidak produktif dan membinasakan.

“Untuk memperbaiki keadaan, kita perlu memancarkan (berkongsi) kuasa, mengurangkan penumpuan kuasa, untuk menggalakkan persaingan yang tidak berasaskan kaum dan agama.

“Kita perlu perubahan dalam sistem pilihan raya, perubahan dalam Parlimen. Sungguhpun kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum lakukan lebih banyak, tetapi MoU (perjanjian persefahaman kerajaan-pembangkang) itu sebenarnya berasaskan reformasi Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan Sinar Harian.

Tambahnya, sekolah vernakular sering dianggap sebagai punca tiadanya perpaduan dalam kalangan rakyat. Namun, sebenarnya integrasi atau gabungan antara kaum banyak berlaku di sana.

“Kita sebenarnya ada satu trend yang beralih ke arah lain. Kita sebenarnya melihat lebih banyak integrasi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

“Sekarang, satu daripada lima murid di sekolah Cina bukan dari keturunan Cina. Dan jumlahnya semakin meningkat,” ujarnya.

Ketika ditanya apakah punca berlakunya situasi seperti itu, Chin Huat berkata: “Ia mungkin berkaitan dengan nilai Bahasa Cina, tetapi yang saya rasa lebih penting adalah, suasana belajar di sekolah Cina.

“Kalau kita ingin memupuk integrasi di peringkat sekolah, apa yang kita perlu buat ialah memberi insentif kepada sekolah yang mencapai integrasi lebih tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here