Berus gigi, pemetik api, pisau cukur guna cap dagangan palsu dirampas

0
456

SEBANYAK 2,765 unit pemetik api; 500 unit berus gigi dan 552 unit pisau cukur yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang semalam.

Kesemua barangan bernilai kira-kira RM4,087.50 itu dirampas dalam dua serbuan berasingan di Georgetown dan Butterworth kira-kira pukul 11.30 pagi.

Pengarah PPDNHEP, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan itu dilakukan di sebuah kedai runcit di Jalan Sungai Ujong dan sebuah premis borong di Taman Seri Murni.

Menurut beliau, pemeriksaan terhadap kedua-dua premis itu menemukan produk jualan tersebut yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu.

“Sehubungan itu, kita menyita kesemua produk jualan tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Mohd. Ridzuan, kes itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama bagi bukan pertubuhan perbadanan.

Pemeriksaan menemukan produk jualan tersebut yang menggunakan cap dagangan berdaftar disyaki palsu.

Sementara itu katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda sehingga RM20,000 akan dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, bagi kesalahan melibatkan pertubuhan atau perbadanan, denda sehingga RM15,000 boleh dikenakan bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar iaitu untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM30,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Sehubungan itu, kita mengingatkan mana-mana individu yang cuba menjual barangan tiruan bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka.

“Selain mengalu-alukan maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan.

“Aduan-aduan tersebut boleh disalurkan menerusi Bilik Gerakan PPDNHEP Pulau Pinang di nombor 04-3840245, aplikasi WhatsApp (019-279 4317) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat cawangan (PPDNHEP) di seluruh negara,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here