Tiada jaminan tidak berlaku pertindihan kerusi PKR-Muda

0
248

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) tidak dapat memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara tersebut terpulang kepada Muda namun berharap perkara tersebut tidak berlaku.

“Soal pertindihan kerusi saya tidak dapat beri jaminan kerana perkara itu terpulang kepada mereka (Muda). Tetapi saya harap kerjasama ini akan dihormati.

“Tetapi saya percaya dalam soal menolak korupsi dan salah guna kuasa, PKR dan Muda mempunyai pendirian yang sama dan jelas untuk menolaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Baju T-shirt Tolak Korupsi di Bilik Gerakan Utama PKR Johor , Johor Bahru, hari ini.

Sabtu lalu, Syed Ibrahim menjelaskan pintu rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Muda sudah tertutup selepas parti itu mengumumkan kesemua 20 calon PKR bagi kerusi yang akan ditandinginya.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan, tindakan PKR mengumumkan 20 calon itu menjejaskan sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

Syed Saddiq juga seperti membayangkan kemungkinan pertindihan kerusi susulan gagal mencapai kata sepakat dengan PKR.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim Muda berharap, tidak akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PKR.

Katanya, rundingan pembahagian kerusi antara dua parti itu sudah ditamatkan dan diharap juga tidak menjejaskan fokus mereka untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, penting untuk Muda memahami kepentingan parti blok pembangkang dalam PH untuk bekerjasama dan tidak bertembung antara satu sama lain.

“Dalam PRN Johor ini, pembangkang perlu bekerjasama, jadi walaupun tiada perkongsian kerusi antara PKR dan Muda, tetapi saya telah tegaskan keperluan kerjasama untuk capai kemenangan.

“Ini kerana musuh utama kita adalah UMNO, BN dan juga PN. Sesama mereka yang berada dalam kerajaan juga bergaduh, bahagian rakyat boleh hendak mempercayai mereka lagi,” soalnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here