Isu logo pun tidak sehaluan, macam mana nak wujud kestabilan, kata MCA kepada DAP

0
473

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIMBALAN Ketua Pemuda MCA Johor, Tai Chee How membidas kenyataan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Muhammad Shakir Ameer bahawa kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) penting untuk permulaan kestabilan politik negara.

Beliau yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai retorik dan tidak berpijak di bumi nyata kerana realitinya tidak menggambarkan situasi politik yang kini dihadapi PH dan Muda.

“Melihat kepada situasi yang berlaku sekarang ini, ‘stabil’ bukanlah perkataan yang sesuai untuk ditakrifkan dalam kerjasama politik PH dan Muda. Ini jelas terbukti apabila mereka akan menggunakan logo berbeza dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Jika hal logo pun anda tidak sehaluan, bagaimana anda yakin kerjasama ini untuk kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semasa PRN Melaka, PH sebulat suara bersetuju menggunakan logo PH manakala dalam PRN Sarawak, parti komponen PH iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo masing-masing.

Bagi PRN Johor pula katanya, Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH selepas PKR mengumumkan bertanding dengan menggunakan logo sendiri.

“Keadaan ini membuatkan rakyat keliru. Parti mana yang memperjuangkan PH? Mengapa ia berbeza setiap kali pilihan raya berlaku,” soalnya.

Beliau berkata, umum mengetahui, PKR dan Muda tidak sehaluan dalam rundingan pembahagian kerusi untuk PRN Johor dan itu dapat dibuktikan menerusi laporan media-media tempatan.

Justeru katanya, adakah Pemuda Sosialis DAP berpendapat bahawa ‘kerjasama’ antara mereka itu boleh menstabilkan politik?

“Atau Pemuda Sosialis DAP telah ‘mensisihkan’ PKR daripada PH dan tidak lagi menganggap mereka sebagai sebahagian daripada PH? Jika itu yang berlaku, saya sarankan agar Pemuda Sosialis DAP membuat kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut dan secara tidak langsung Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi Pengerusi PH supaya rakyat tidak lagi salah faham,” katanya.

Chee How turut menekankan bahawa penyatuan dalam sesebuah pakatan merupakan perkara asas yang perlu ada sebelum mengorak langkah seterusnya dalam melaksanakan dasar, membangunkan pelan tindakan dan merancakkan ekonomi negara.

“Kini jelas, PH tidak mempunyai perkara asas itu, mereka bukan sebuah pakatan yang bersatu-padu, jauh sekali untuk membentuk kerajaan yang kuat dan stabil yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan juga negara.

“Sekali lagi saya menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP ini hanya retorik semata-mata dan pastinya ia mempunyai agenda tersendiri iaitu untuk menarik minat pengundi muda sahaja,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here