Pelakon letak harga tinggi, penerbit pening kepala

0
473

HARGA pelakon makin mahal membuatkan kebanyakan penerbit drama makin pening. Ini hakikat yang sedang berlaku dalam industri seni tanah air sejak beberapa bulan lalu.

Ada segelintir anak seni enggan bertolak ansur dalam meletakkan harga tanpa memikirkan bajet yang ada sedangkan sejumlah wang yang ada akan diagih-agihkan kepada semua.

Perkara tersebut juga mendapat respon daripada pengarah popular, Rashid Sibir yabg menganggap segelintir pelakon bersikap demand dan tidak memikirkan orang lain.

“Ini bukan rintihan, apa lagi cemuhan. Hanya cerita biasa tapi ini adalah kenyataan sedang berlaku keras melampau.

“Pelakon hero minta belas ribu, tak nak bagi terus tak nak bincang, tutup telefon. Bukan semua, segelintir saja.

“Pelakon heroin pun sama letak harga. Tak nak carilah lain. Yang ada pengurus lagilah ‘demand’. Siap kira hanya beberapa jam saja boleh bekerja sehari, apa nak jadi?” luahnya dalam Facebook peribadi miliknya.

Sebenarnya apa diluahkan oleh Rashid bukanlah perkara baharu memandang beberapa penerbit juga senada dengan apa yang diperkatakan olehnya.

Ada di antara mereka meluahkan rasa perit untuk mencari pelakon memandangkan kesibukan jadual dan harga yang melampau diletakkan segelintir daripadanya.

Memperhalusi isu bajet yang terlalu tinggi pula, Rashid mendedahkan ada kalanya suku daripada keseluruhan bajet terpaksa diberikan kepada pelakon utama.

Sudahnya, pelakon tambahan dan kru produksi terpaksa dikongsi bersama sedangkan kos lain untuk menerbitkan drama semakin bertambah.

“Untuk menghasilkan sebuah drama bukan hanya hero dan heroin sahaja diambil kira, sebaliknya semua kru yang terlibat.

“Dalam sebuah pasukan penggambaran ada kru, pasukan pekerja, pelakon-pelakon lain juga, bukan hero dan heroin.

“Ramai yang terlibat barulah boleh menjadi karya yang baik. Tetapi kalau bayar dua orang sudah suku bayaran daripada stesen (televisyen), apa yang tinggal? Semua orang mesti faham keadaan ini,” katanya.

Sebagai jalan selamat untuk membetulkan keadaan semasa, dia menyarankan agar stesen TV membantu menaikkan bayaran drama agar mereka dapat membayar pelakon dengan harga yang tinggi.

Dia juga menyeru kepada beberapa persatuan dan pihak terlibat untuk sama-sama berbincang agar harga baharu dapat diperkenalkan dan semua orang dapat menikmati rezeki yang sama.

“Baru produser boleh bayar kepada artis ‘demand’ melampau tadi kerana pihak stesen sudah bantu naikkan harga, sama-sama dapat merasa.

“Demi masa depan, kita memerlukan antara satu sama lain. Semua orang berganding bahu cari rezeki, jangan pentingkan diri. Sama-sama cari makan,” katanya lagi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here