Pas jangan jadi ‘pak turut, kekalkan budaya politik matang

0
302

Oleh DATUK DR.KHAIRUDDIN TAKIRI

KEPUTUSAN Muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 31 hb Disember 2021 sebagaimana kenyataan rasmi oleh Mursyidul Aam ialah kekal memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Sehingga berlaku perubahan dasar baru jika ada, maka tanggungjawab semua pemimpin dan ahli Pas ialah memperkasakan kedua-duanya.

Meskipun akan berlaku pertembungan dalam pilihanraya Johor antara PN, BN dan PH, Pas boleh mengekalkan semangat kerjasama dengan kempen yang berhemah berasaskan Budaya Politik Matang Sejahtera.

Kempen mengajak rakyat Johor bersama Pas dengan menjelaskan matlamat perjuangan dan usaha Pas serta kejayaan Pas menguruskan kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Itu kempen berhemah.

Tidak perlu diungkit cerita lama, perangai lama, tuduh-menuduh yang lama dan kezaliman lama kerana semuanya hanya bertujuan membakar sentimen kebencian yang tidak menguntungkan politik umat Islam jangka masa panjang.

Malah tidak wajar rahsia-rahsia mesyuarat berdua dan bertiga dijadikan modal kempen terbuka kerana Nabi saw mengajar menyimpan rahsia mesyuarat dan perbincangan sebagaimana sabdanya

“Ahli mesyuarat diberi  amanah (kerahsiaan)”

(Hadis Sahih riwayat Tirmizi)

Kepada yang terlajak masih ada masa untuk membetulkan keadaan dengan menyusun strategi baru. Kita mahu menggamit sokongan anak muda dan penyokong atas pagar dan juga mereka yang simpati di kalangan penyokong UMNO/BN dan PH untuk menyokong kita bukan sekadar mengekalkan penyokong tegar Pas.

Tentulah budaya memujuk perlu diteruskan sesuai dengan firman Allah

“Pergilah kamu berdua (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun, dia sangat jahat dan sebutlah kepadanya kata-kata yang lunak mudah-mudahan dia ambil ingatan atau dia takut pada Tuhan.”

(Surah Toha : 43-44)

Jika pada manusia sejahat Firaun pun diarahkan kita menyebut kalam yang lunak apatah lagi dengan rakan kerjasama dalam kerajaan Persekutuan.

Kita tidak perlu menjadi “pak turut”. Jika ada rakan memulakan kata-kata yang kasar, bukanlah kita orangnya untuk membalas dengan kekasaran juga kerana kita adalah  pendakwah.

Nabi saw diriwayatkan bersabda

“Janganlah kamu menjadi pak turut. Kamu menyebut; “jika orang ramai berbuat baik maka kami berbuat baik dan jika mereka berbuat jahat kami pun berbuat jahat”, tetapi tetapkan diri kamu; jika mereka berbuat baik kami berbuat baik. Jika kamu berbuat jahat kami tetap tidak menzalimi”

(Hadis Lemah dalam Targhib wa Targhib)

Kepada rakan pimpinan di peringkat pusat, anda perlu memimpin kaedah kempen yang betul dan berhemah kepada pimpinan pertengahan dan bawahan. Mereka di bawah hanya “kami dengar dan taat”.

Ini nasihat saya sebagai ahli biasa kepada pimpinan tertinggi sebagai mengamalkan sabda Nabi saw.

“Agama itu Nasihat”. Kami (para Sahabat) bertanya untuk siapa? Kata Nabi SAW Untuk Allah, untuk Kitab-Nya, untuk Rasul-Nya dan untuk pemimpin-pemimpin orang Islam dan untuk orang awam mereka” (Hadis Muslim) .

  • Datuk Dr.Khairuddin Takiri adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here