KPM mohon guru terbabit SPM dikecualikan jadi petugas PRN Johor

0
493

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memohon guru yang terbabit sebagai pengawas peperiksaan, petugas peperiksaan atau pemeriksa markah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikecualikan daripada menjadi petugas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya sudah menyuarakan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan kelompok guru terbabit lebih fokus kepada tugas mereka. 

“KPM sedar bahawa ini adalah tempoh penting dan perlu menumpukan sepenuhnya dalam pelaksanaan SPM. 

“Kita perlu jalankan dalam keadaan teratur dan sebab itu kita memohon supaya SPR mengecualikan guru ini daripada menjadi petugas.

“Oleh itu, guru yang terbabit ini perlu memaklumkan kepada wakil SPR di kawasan masing-masing dan maklumkan sekiranya mereka ada pengganti. Sekiranya tiada pengganti, guru ini perlu maklumkan kepada wakil SPR,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Radzi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan SPR untuk memastikan penggunaan kelas di sekolah menengah sebagai Pusat Pengundian untuk PRN Johor dapat dikurangkan.

Beliau berkata, pihaknya meminta SPR tidak membabitkan bilik darjah yang akan digunakan untuk peperiksaan SPM 2021.

“Bilik peperiksaan ini sudah disusun pihak sekolah dan guru, ia sudah mengikut indeks nama murid. Sebarang gangguan susunan atau aturan berkenaan boleh memberi implikasi yang besar.

“Jadi kita sudah maklumkan perkara ini kepada pihak sekolah dan KPM akan berbincang dengan SPR untuk elakkan penggunaan bilik utama untuk peperiksaan berkenaan,” katanya. 

Radzi berkata, secara umumnya SPR memaklumkan akan menggunakan sebanyak 151 sekolah menengah bagi PRN Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

Katanya, walaupun KPM tetap dengan pendirian supaya sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi, namun pihaknya terpaksa akur kerana SPR mempunyai akta yang membolehkan suruhanjaya itu mengambil sekolah terbabit sebagai tempat mengundi, sekiranya didapati perlu. – SB 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here