PRN Johor: Sikap Mazlan bawa masuk Warisan pentingkan diri

0
224

TINDAKAN bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang yang dikatakan bakal menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) disifatkan sebagai cerminan peribadi yang mementingkan diri sendiri.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri turut menyifatkan langkah Mazlan sanggup membawa masuk parti tempatan Sabah itu disebabkan peruntukan ‘lumayan’.

Menurut Mohd. Solihan, sikap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu yang oportunis kerana sanggup menaja penubuhan Warisan di Johor.

Malah, Mohd. Solihan turut mendakwa kemungkinan Mazlan sedia melakukan perkara sama sekiranya ada pihak lain dari luar negara yang mahu menaja menubuhkan parti di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Johor supaya tidak terpedaya dan peduli dengan tawaran Warisan melalui Mazlan kerana misi serta objektif parti tersebut didakwa tidak menepati aspirasi mahu pun keperluan Bangsa Johor.

“Bersatu ingin menarik perhatian bahawa pembabitan Mazlan dengan Warisan membuktikan beliau tidak lagi mendapat perhatian atau tempat dalam kalangan pemimpin parti utama walaupun pernah menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor pimpinan Datuk Hasni Mohammad, 27 Januari lalu.

“Mazlan pada tarikh sama turut mengisytiharkan dirinya tidak akan menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persoalan yang timbul sekarang, kata Mohd. Solihan adalah mengapa Mazlan tidak menyertai UMNO dan menyatakan perubahan pendirian kepada Hasni apabila tidak lagi menyokongnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Malah, Mohd. Solihan yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor turut menyatakan kesangsian dengan matlamat dan hala tuju Warisan serta tindakan parti itu bertapak di Johor.

“Kita tidak tahu sejauh mana ketulenan jiwa dan keikhlasan individu seperti Mazlan kepada kepentingan bangsa Johor sehingga sanggup membawa aspirasi parti tempatan Sabah untuk ditawarkan kepada rakyat negeri ini.

“Dalam senario ini, matlamat tindakan Mazlan untuk terbabit dengan Warisan mungkin tercapai kalau niatnya sekadar untuk memuaskan hati atau menunjukkan bantahan kepada Bersatu tetapi tidak memberi apa-apa kesan kepada politik serta bangsa Johor,” jelas beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here