Enggan bersekongkol dengan ‘kluster mahkamah’ punca Muhyiddin dijatuhkan

0
529

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAN Sri Muhyiddin Yasin mendedahkan, sokongan UMNO terhadap kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semasa beliau menjadi Perdana Menteri sebenarnya mempunyai agenda tersendiri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memberitahu, agenda tersebut terbongkar selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan beliau di rumahnya membawa fail.

“Beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, Zahid datang ke rumah saya semasa saya sedang berbincang dengan (Tan Sri) Abdul Hadi Awang, bawa satu fail bertimbun-timbun (dokumen).

“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya, dia kata, Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan).

“Saya kata pada dia, kalau tak buat apa yang dituduh buat apa nak takut, pergilah ke mahkamah, kalau tidak bersalah akan dibebaskan,” katanya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata demikian ketika berucap di Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh PRN Johor di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, Mersing, malam tadi.

Turut hadir Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.

Bercerita lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak dapat menolong Zahid sekali gus tidak mahu mencampuri urusan mahkamah.

“Saya kata ‘sorry’, saya punya pendirian dalam soal mahkamah, mahkamah adalah satu badan kehakiman yang besar dan saya tidak boleh campur tangan walaupun saya Perdana Menteri. Saya kata saya tidak boleh bebaskan dia, saya tidak boleh buat begitu tuan-tuan.

“Mana boleh buat begitu saya beritahu dia, ini soal mahkamah, tidak boleh buat begitu, pergi ke mahkamah (kalau tidak bersalah) bebaslah kau. Rupanya dia marah dan tidak berpuas hati,” katanya.

Selepas itu katanya, Zahid menghantar beberapa wakilnya untuk memujuknya supaya kes beliau ditangguh atau dilambat-lambatkan tetapi permintaan tersebut tidak dilayannya.

Beliau tidak boleh masuk campur kes mahkamah apatah lagi kes itu melibatkan jumlah jutaan ringgit dan berpendirian sesiapa pun yang melakukan kesalahan walaupun sekecil mana pun perlu diadili.

Muhyiddin menyangkakan hanya Zahid yang mahu meminta pertolongan ‘menyelesaikan’ kes mahkamah tetapi terkejut apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut datang mengunjunginya.

“Satu hari bos awak, bos awak siapa bos dia, bosku, malu apa bosku, malu apa bosku tak malu. Bosku datang ke pejabat saya beri penghormatan sebagai Perdana Menteri, dalam cerita punya cerita, dia cerita juga kes mahakmah.

“Kalau boleh minta saya keluarkan (bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal) Sri Ram, suruh saya buang Sri Ram (yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib melibatkan 1Malaysia Development Bhd).

“Mana boleh, saya tidak akan buat macam itu, (dia) marah lagi, akhirnya dalam tempoh beberapa bulan kedudukan kerajaan yang awal-awal ok dah jadi macam tak berapa ok, bergoyang-goyang,” katanya dan kedua-dua pemimpin tersebut selepas itu dikenali sebagai ‘kluster mahkamah’. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here