Hidupkan semula skim KMK, ‘gula-gula pilihan raya’ Hasni?

0
529

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Johor Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri malam tadi, berhasrat menghidupkan semula skim kuota menegak kerajaan (KMK).

KMK sebelum ini dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa memerintah Johor pada Mei 2018 di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Osman Sapian iaitu bekas Menteri Besar Johor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu.

Menurut Hasni yang juga Menteri Besar Johor, KMK akan memberikan peluang perumahan kepada semua masyarakat jika menang pada PRN Johor.

“Kalau BN menang esok (PRN Johor), KMK ini perlu BN kembalikan semula kepada semua masyarakat kerana itu perkara paling penting untuk beri peluang perumahan kepada semua masyarakat,” katanya.

Pengumuman Hasni itu mengejutkan kerana KMK dimansuhkan sebelum ini kerana wujud ketidaktelusan dalam pelaksanaannya.

Keadaan itu menunjukkan BN mahu mengulangi skim tersebut yang dilihat menindas rakyat Johor selain mempunyai unsur kronisme.

KMK adalah kuota politik yang berat sebelah dan dilihat tidak membantu golongan sasar yang memerlukan rumah sebelum ini.

Semasa pemerintahan Osman, KMK dimansuhkan supaya rumah mampu milik yang berharga RM40,000, RM80,000 dan RM150,000 dimiliki golongan benar-benar memerlukan terutama anak muda yang memerlukan kediaman selesa.

Sistem berkenaan dilihat tidak adil kepada rakyat Johor. Pemansuhan itu sebenarnya merupakan satu daripada janji dalam manifesto sekiranya Bersatu Johor dan PH berjaya menjadi kerajaan negeri pada Piliha Raya Umum ke-14.

Sebelum ini sistem tersebut didapati memberikan hampir 30 peratus kepada pemimpin UMNO dan BN dan diagihkan kepada penyokong mereka.

Dalam erti kata lain, KMK membuka ruang untuk salah guna kuasa dan rasuah.

Tidak diketahui apa tujuan atau agenda Hasni mengumumkan perkara itu yang dilihat lebih kepada ketandusan ‘isu rakyat’ untuk menarik pengundi memangkah BN pada PRN Johor yang akan diadakan 12 Mac ini.

Hasni sedar, hujah batil bahawa PRN Johor diadakan kerana mahukan kestabilan politik tidak diterima rakyat Johor yang waras.

Jadi adakah ini sebagai satu lagi ‘gula-gula pilihan raya’ kerana sedar isu pemilikan rumah adalah sesuatu yang sangat serius dan mendesak di negeri itu kerana masih ramai rakyat Johor tidak memiliki rumah sendiri?

Rakyat terutama pengundi perlu sedar, adakah sistem KMK untuk mengagihkan rumah di Johor benar-benar memberi manfaat kepada mereka?

Perlu diingat, pengagihan menerusi parti politik pastinya akan berpihak kepada orang tengah yang mempunyai pengaruh politik sahaja.

Jadi adakah sistem ini adil kepada rakyat lain yang tiada apa-apa kaitan dan kepentingan dengan parti mahupun ahli parti politik?

Berdasarkan rekod pada 2017 yang dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor iaitu dua tahun sebelum KMK dimansuhkan, daripada jumlah 119,696 permohonan yang dibuat untuk perumahan mampu milik, hanya 8.16 peratus atau 9,773 permohonan yang diluluskan.

Lebih separuh daripada jumlah itu iaitu 4,988, adalah daripada skim KMK iaitu melalui BN.

Sehubungan itu, pengundi perlu bijak dan tidak terperangkap dengan ‘tawaran’ Hasni sekiranya BN kembali memerintah selepas PRN Johor. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here