Dua tokan diberkas, 3 kilogram dadah dirampas

0
467

POLIS memberkas dua lelaki yang aktif mengedar dadah sekitar Kamunting, Taiping dalam serbuan di sebuah premis pada Khamis lalu.

Sinar Harian melaporkan, kedua-duanya ditahan pada pukul 9.30 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan bersama tiga kilogram dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai RM121,939.85.

“Suspek pertama berperanan sebagai ‘runner’ didapati mengedar dadah sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan menjumpai dadah jenis heroin seberat 2.75 kilogram dan sebungkus methamphetamine seberat 256.89 gram.

“Tindakan susulan berjaya menangkap lelaki berusia 29 tahun dipercayai tokan dalam sebuah kereta di hadapan premis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Taiping hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) menerusi ujian saringan air kencing.

“Polis turut menyita rantai emas, sebuah kereta dan motosikal dan dua telefon bimbit bernilai RM45,434.24. Tindakan itu diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Dadah yang dijual untuk pasaran tempatan itu boleh dibekalkan kepada lebih 10,000 penagih,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here