PRN Johor: Wanita PN pilih 16 calon untuk bertanding

0
458

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

WANITA Perikatan Nasional (PN) mengemukakan 16 calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, calon-calon itu adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Menurutnya yang juga Ketua Srikandi Bersatu, senarai nama calon itu sudah dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan.

“Mereka adalah berkelayakan dan harap diberi peluang untuk bertanding dalam PRN Johor. Pemilihan calon itu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai kategori dan latar belakang setiap individu terbabit.

“Sudah pasti hendak peluang ini turut diberikan kepada wanita untuk bertanding bahkan kita harap mereka ini bukan sahaja dipilih sebagai calon tetapi juga mampu menjadi Yang Berkhidmat (YB) pada 12 Mac nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, malam tadi.

Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dua Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.

Mengulas lanjut, Rina berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada calon Wanita PN pada PRN Johor.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Wanita PN sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN Johor sebelum pengumuman pembubaran DUN Johor dilakukan.

“Kita akan ketengahkan isu yang dekat dengan wanita antaranya usaha membantu menaikkan taraf ekonomi mereka, bimbing mereka untuk bangkit semula dan sebagainya,” katanya.

Rina memberitahu, Wanita PN mempunyai kira-kira 10,000 ahli berdaftar yang akan bergerak membantu PN di seluruh pelusuk negeri ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here