Jentera Wanita PN perlu ambil roh, semangat perang Badar-Rina

0
321

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JENTERA Wanita Perikatan Nasional (PN) tidak perlu gentar untuk menggempur Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun bilangan mereka dijangka tidak seramai jentera Wanita Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun berkata, jumlah tidak menjadi ukuran atau penghalang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PN kerana apa yang perlu dilakukan adalah berusaha keras.

Beliau berkata, jentera Wanita PN perlu mengambil roh dan semangat perang Badar iaitu jumlah tentera Islam jauh lebih sedikit berbanding musuh, namun berjaya memperoleh kemenangan berlandaskan semangat juang yang tinggi.

Katanya, jentera Wanita PN perlu berjuang habis-habisan dengan menjadikan peristiwa perang Badar sebagai inspirasi dan pencetus semangat.

“Dalam tempoh 30 hari ini cukup getir buat jentera Wanita PN yang menggabungkan tiga parti komponen iaitu Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menghadiahkan kemenangan buat PN.

“Ada yang memperlekehkan usaha jentera Wanita PN kerana bilangan kita tidak seramai mereka. Jangan risau, biarlah mereka mencebik dan mengata kita kerana kita mempunyai iltizam yang kuat.

“Jadikan peristiwa perang Badar pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman, bagaimana seramai 313 tentera Islam menewaskan tentera musuh yang jauh lebih ramai,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, malam tadi.

Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dua Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.

Rina berkata, jentera Wanita PN sudah bersiap sedia untuk menerima segala arahan daripada pucuk pimpinan parti untuk dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah untuk memastikan kemenangan dalam PRN Johor.

Katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, semua jentera wanita daripada tiga parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan perlu bersatu hati dan bergerak seiring sebagai satu pasukan.

Beliau berkata, Wanita PN perlu buang imej lemah sebaliknya bersedia menunjukkan semangat juang tinggi selain bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengira masa dan waktu.

“Wanita PN kena bagitahu suami, anak dan keluarga bahawa tempoh sebulan ini mahu fokus kepada membantu kemenangan buat parti.

“Ikatan yang ada ini (Bersatu, Pas, Gerakan) kita ikat kemas-kemas jangan biarkan ada pihak cuba meleraikannya dalam memacu hala tuju memenangi PRN Johor,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here