Sindiket dadah guna kurier tumpas

0
227

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SATU sindiket penyeludupan dadah menggunakan khidmat syarikat penghantaran menerusi operasi khas di Jalan Tebrau dan sekitar bandar raya Johor Bahru tumpas dalam satu operasi , Sabtu lalu.

Menerusi operasi itu, lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia 22 hingga 56 tahun ditahan dalam operasi bermula pukul 3 petang itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 17.70 kilogram (kg) dadah jenis magic mushroom dan 3.02kg serbuk ekstasi bernilai RM1.04 juta berjaya dirampas.

“Modus operandi sindiket ini adalah menghantar dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak November tahun lalu dan disyaki menerima bekalan dari negara luar.

“Turut disita tiga buah kenderaan serta wang tunai RM21,850,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, hasil semakan mendapati lima suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala dua daripada mereka positif methamphetamine.

Jelasnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here