Jual sijil vaksin palsu:25 ditahan

0
393

SERAMAI 25 individu ditahan membabitkan sembilan kes penipuan penjualan sijil vaksin palsu di seluruh negara sejak bulan lalu.

Daripada jumlah itu, turut ditahan membabitkan tiga doktor, tiga jururawat, 11 orang awam, tujuh ejen dan seorang staf klinik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din berkata, kebanyakan siasatan kes berkenaan sudah hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.

“Kes terbaharu yang dikesan pihaknya membabitkan sijil vaksin palsu dilaporkan di Kinarut, Sabah, pada minggu lalu.

“Kita menerima laporan daripada seorang staf klinik pada 4 Februari lalu yang melaporkan seorang doktor melakukan aktiviti penjualan sijil vaksin palsu.

“Suspek berkenaan yang juga seorang doktor berusia 37 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Februari lalu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd. Kamarudin berkata, dalam kes berasingan, pihaknya menerima dua laporan di Selangor berhubung kes penipuan berkaitan tawaran penjualan kit ujian covid-19 yang tidak wujud melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM710,000.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian pengesanan covid-19 dari syarikat pengeluar di China.

“Setelah pembayaran dilunaskan, kit ujian yang dibeli tidak diterima. Mangsa seterusnya membuat semakan terus dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima oleh pihak pengeluar,” katanya.

Mohd. Kamarudin memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here