PRN Johor: Senarai calon Bersatu diumum minggu ini

0
275

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SENARAI calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diumumkan dalam minggu ini.

Naib Pengerusi PN Johor, Senator Md. Nasir Hashim berkata, PN dijangka tidak bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berkata, pengumuman itu akan dilakukan serentak melibatkan Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) iaitu parti komponen dalam PN.

“Perincian mengenai pembahagian kerusi serta kerusi yang akan ditandingi itu masih belum dapat didedahkan sehinggalah pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hasil perbincangan yang dibuat bersama Pas dan Gerakan sebelum ini sudah mencapai kesepakatan daripada segi pembahagian kerusi DUN yang akan ditandingi,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini, Surahanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam sidang akhbar di sini menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, hari penamaan calon pula jatuh pada 26 Februari dan tarikh untuk pengundi awal ditetapkan pada 8 Mac ini.

Mengulas lanjut, Md. Nasir berkata, perbincangan berkenaan pengagihan kerusi berjalan lancar dan tidak timbul isu perebutan kerusi membabitkan Bersatu dengan parti gabungan berkenaan.

Katanya, senarai nama calon itu sudah dilengkapkan namun tidak boleh didedahkan yang akan diumumkan secara terperinci oleh Muhyiddin.

“Perkara itu belum boleh didedahkan kerana tidak mahu mengganggu strategi parti. Saya sendiri tidak tahu calon yang akan bertanding, bahkan saya sendiri tidak tahu sama ada saya turut dicalonkan atau tidak,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Md. Nasir bertanding tiga penjuru di Parlimen Mersing namun tewas kepada penyandang daripada UMNO, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang kemudiannya menyertai Bersatu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here