PRN Johor: Pejuang mahu bergerak solo, tiada hasrat sertai PH

0
254

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) buat masa ini tidak berhasrat untuk menyertai khemah besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata parti itu masih bergerak solo untuk bertanding pada PRN Johor dan sebarang kerjasama dengan gabungan parti lain masih dalam pertimbangan.

“Kami (Pejuang) tidak akan menyertai mana-mana gabungan dan calon-calon kita akan bertanding di atas tiket Pejuang.

Pada waktu ini kita tidak berhasrat untuk menawarkan calon-calon kita di bawah lambang PH atau menyertai khemah besar PH,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat “Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir” di sini hari ini.

Mukhriz bagaimanapun mengakui terdapat perbincangan bersama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), namun sebarang bentuk keputusan kerjasama politik sewaktu PRN Johor belum  dimuktamadkan.

Beliau berkata sekiranya perbincangan itu mencapai kata putus, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

“… tapi dengan pihak lain tiada perbincangan yang betul-betul mendalam, contohnya seperti PH,” katanya. 

Pada 24 Januari, Anwar, selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH, berkata semua parti pembangkang termasuk Pejuang, Warisan dan Muda perlu bekerjasama di bawah satu khemah besar bagi menghadapi PRN Johor. 

 Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Jan lepas untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here