Empat ditahan disyaki jual sijil cuti sakit palsu

0
187

POLIS menahan dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan sijil cuti sakit palsu sekitar Shah Alam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Azman Ali berkata dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kaloi 17/17 Seksyen 17, Shah Alam, polis turut merampas sejumlah dokumen sijil cuti sakit palsu yang telah siap dicetak dan juga peralatan untuk membuat serta mencetak sijil cuti sakit.

“Antara yang dirampas ialah 62 keping sijil cuti sakit palsu, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, satu set komputer, satu mesin cetak dan dua  keping kad ATM,” katanya dalam kenyataan.

Katanya suspek yang berusia 22 hingga 35 tahun itu ditahan reman sehingga 11 Feb ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdaya dengan mengemukakan dokumen yang palsu sebagai sah.

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here