SPRM ‘geledah’ dokumen di pejabat MARA

0
278

SURUHANJAYA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu sekurang-kurang tiga pejabat berkaitan MARA di ibu negara bagi membantu siasatan berhubung dakwaan isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan agensi berkenaan. 

Beberapa pegawai SPRM difahamkan hadir di pejabat berkenaan bermula jam 9 pagi tadi dipercayai untuk mengambil beberapa dokumen berkaitan yang boleh membantu siasatan. 

Memetik laporan Berita Harian, selain ibu pejabat MARA di Jalan Mara, pegawai SPRM juga dikatakan ke syarikat pelaburan MARA dan sebuah syarikat setiausaha korporat dan syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat kepada agensi itu. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi BH, mengesahkan kehadiran pegawai berkenaan namun beliau tidak mahu mengulas lanjut. 

Difahamkan, ketika ini SPRM sudah memulakan siasatan termasuk mengumpul beberapa dokumen penting berhubung salah guna kuasa itu dan dijangka memanggil beberapa individu termasuk saksi bagi memberi keterangan. 

Hingga kini tidak dapat dipastikan sama ada lima pegawai MARA yang dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasa sudah tampil memberi keterangan kepada SPRM. 

SPRM dalam satu kenyataan kelmarin menyatakan pihaknya memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan yang sedang disiasat secara dalaman oleh MARA. 

Agensi itu menjelaskan, mereka juga sudah terima satu aduan berkaitan isu itu dan akan memulakan siasatan hari ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation. 

Siasatan itu akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan. 

Bagaimanapun, semalam BH melaporkan lima pegawai MARA yang dikaitkan itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, awal pagi semalam. 

Semua mereka menafikan terbabit dalam perbuatan salah guna kuasa seperti yang dilaporkan dalam satu dokumen yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dan turut mendakwa individu yang menandatangani dokumen berkenaan melakukan fitnah terhadap mereka. 

Seorang daripada mereka dalam laporannya, turut mendakwa mengesyaki individu yang menandatangani dokumen itu cuba mengalih perhatian Pengerusi MARA terhadap isu salah guna kuasa yang dilakukannya sendiri.

Jumaat lalu, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun dalam kenyataan menjelaskan pihaknya sudah memulakan siasatan lanjut di MARA Corp bagi meneliti dokumen-dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik. 

Azizah berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam yang menimbulkan persepsi negatif terhadap MARA dan anak syarikat berkaitan. 

“Sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya. 

Beliau berkata, keseluruhan anak syarikat MARA dikawal selia mengikut Akta Syarikat 2016 dan sentiasa mengutamakan amalan integriti yang tinggi dalam organisasi. 

Azizah juga menafikan wujud salah guna kuasa atau salah urus tadbir susulan dokumen dalaman anak syarikatnya tular dalam media sosial yang mendakwa wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawainya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here