Pembantu kedai dobi mengaku tidak bersalah perdaya kontraktor

0
226

SEORANG pembantu kedai dobi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang kontraktor bagi mendapatkan projek penggantian saluran paip gas di Terengganu, empat tahun lepas.

Herisyam Abdul Wahid, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa memperdayakan Mohd Hafidz Mohd Ismail, 41, untuk mempercayai dia boleh membantu mendapatkan projek ‘Engineering, Procurement, Construction & Commisioning (EPCC) for PGU-1 Pipeline Replacement in Terengganu Malaysia (Graphite)’ daripada Petronas Gas Berhad hingga mendorong Mohd Hafidz menyerahkan wang tunai RM100,000.

Herisyam dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Persiaran Sukan, Seksyen 13 di sini sekitar April 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.  

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat.

Fadhli turut memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan yang telah didakwa pada 20 Januari lepas.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan ekoran anak guamnya hanya mampu mengumpulkan wang jaminan RM6,000 selain menanggung enam anak dan seorang isteri.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan mengikut Seksyen 417 KK pada 21 Februari depan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here