[VIDEO] Penyelidik IPTA, IPTS disaran hasilkan lebih banyak kajian baharu berimpak tinggi – Muhyiddin

0
290

LEBIH ramai penyelidik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta di Malaysia diharap dapat menghasilkan penulisan penyelidikan baharu berimpak tinggi yang boleh menjana potensi nilai tambah kepada sosioekonomi negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, kajian tersebut diharap dapat menyumbang ke arah penambahbaikan dasar dan strategi dalam aspek pembangunan sosioekonomi rakyat dan negara.

Ini katanya, akan dapat menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipandang tinggi dalam aspek penyelidikan dan pembangunan.

“Masih banyak ruang dan peluang bagi negara kita untuk memacu ekonomi inovatif berlandaskan penyelidikan dan pembangunan.

“Justeru, saya berharap, program MPDP yang diperkenalkan oleh Institut MASA ini akan memberi motivasi dan menjadi pembakar semangat kepada para penyelidik tempatan untuk menghasilkan penyelidikan yang memberi impak besar bukan hanya kepada rakyat negara ini  bahkan masyarakat  antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MDPD) di Kuala Lumpur pada Isnin.

Yang turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan merangkap Pemegang Amanah MASA, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berharap agar inisiatif penyelidikan MPDP ini dapat memberi ruang dan peluang kepada ahli akademik dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing untuk melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang sedang dirangka oleh MPN.

“Saya percaya, hanya dengan melakukannya bersama-sama kita akan dapat membina kemakmuran dan kesejahteraan yang diidamkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah,” tambahnya.

Beliau berkata, geran MPDP merupakan salah satu fokus utama institut itu untuk menggalakkan kajian tentang aspek-aspek pemulihan dalam pelbagai sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain sektor yang boleh dijadikan panduan oleh MPN dalam melaksanakan dasar dan strategi pemulihan pasca pandemik.

‘’Inisiatif ini juga menyediakan platform kepada penyelidik dari IPTA dan IPTS tempatan untuk menjalankan penyelidikan yang berimpak tinggi, khususnya dalam bidang ekonomi, sosial dan pembangunan lestari.

‘’Melihat kepada kepelbagaian tajuk dan kertas cadangan yang diterima Institut MASA dalam bidang-bidang berkaitan Pelan Pemulihan Negara, saya yakin bahawa program MPDP ini telah dirangka secara teliti dan komprehensif – sekali gus membuktikan kemampuan MASA dalam menarik minat penyelidik dari pelbagai latar belakang untuk terlibat aktif dalam memberikan cadangan dan input dalam merangka strategi dan inisiatif Pelan Pemulihan Negara,’’ katanya.

MASA Policy Development Programme (MPDP) merupakan geran penyelidikan yang diperkenalkan buat pertama kalinya oleh MASA pada tahun lalu dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila menerima sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 kertas cadangan merangkumi topik kajian dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari telah disenarai pendek dan diputuskan layak oleh panel penilai untuk menerima geran penyelidikan MPDP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here