Covid-19: Penggunaan katil meningkat empat peratus, klinik kesihatan seluruh negara diaktifkan semula

0
213

SEBANYAK 3,233 daripada 9,776 katil di hospital digunakan bagi merawat kes COVID-19 dengan kadar penggunaan 33 peratus, peningkatan empat peratus berbanding minggu sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pula sebanyak 14 peratus atau 116 daripada 850 katil disediakan, iaitu penurunan sebanyak satu peratus.

“Ketika ini kadar penggunaan katil COVID-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan.

“Kementerian Kesihatan setakat semalam sudah bersiap sedia dengan 120 Hospital COVID-19 masing-masing sembilan Full COVID-19 Hospital dan 111 Hibrid COVID-19 Hospital.

“Selain itu, sebanyak 43 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 katil,” katanya dalam sidang media Menteri Kesihatan, pada Isnin.

Sementara itu Khairy berkata, semua klinik kesihatan (KK) di seluruh negara diaktifkan semula supaya bersiapsiaga bagi menerima kedatangan pesakit yang tinggi.

Menurut Khairy, terdapat 370 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di KK dan di komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat penilaian pesakit positif COVID-19, setakat hari ini.

Selain itu, katanya, pejabat kesihatan daerah (PKD) akan sentiasa mengenal pasti KK dan dewan orang ramai yang sesuai untuk menambah bilangan CAC bagi menampung pertambahan kes COVID-19 jika terdapat keperluan.

Tambah Khairy, KKM turut menyarankan fasiliti kesihatan swasta untuk bertindak sebagai CAC swasta.

“CAC berfungsi bagi mengenal pasti pesakit memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah, menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan.

“Selain itu, mengenal pasti dan menyelaras pesakit perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital serta menjalankan penilaian dan pelepasan bagi kes positif yang tamat tempoh pengasingan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here