Muzakarah Bersatu-PAS alternatif kerjasama parti politik Melayu bebas pemimpin ‘bermasalah’

0
321

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi, dua perkara menjadi tumpuan utama iaitu siapa akan menang dan apakah gabungan atau kerjasama yang akan diwujudkan oleh parti-parti politik bagi mencapai kemenangan.

Di atas kertas dan berdasarkan pandangan penganalisis-penganalisis politik, mereka meramalkan Barisan Nasional (BN) akan mengulangi kejayaan di PRN Melaka, dalam bahasa mudah kemenangan akan terus memihak kepada parti itu yang dalam PRU-14 hilang kuasa di Melaka, Johor dan pusat.

Tetapi sekarang, BN dan UMNO menguasai semula Melaka manakala di Johor pemimpinnya menjadi Menteri Besar manakala di pusat menduduki jawatan Perdana Menteri. Di Melaka, BN berkuasa semula melalui PRN manakala di Johor dan Pusat adalah melalui kerjasama dengan parti-parti lain termasuk Bersatu di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan kemenangan di Melaka maka penganalisis melihat tidak ada gabungan lain yang mampu menandingi atau menghalang kemaraan BN untuk menguasai Johor. Namun begitu apabila Bersatu dan Pas melaksanakan muzakarah pada 28 Januari hingga 29 Januari lalu, ia bukan sahaja menarik perhatian malah memberi isyarat senario PRN Johor akan berbeza dengan PRN Melaka.

Mana-mana juga pihak khususnya pemimpin-pemimpin UMNO boleh berkata apa sahaja terhadap muzakarah atau resolusi yang dicapai oleh Bersatu dan Pas melalui muzakarah berkenaan tetapi jangan sesekali memandang rendah kesan daripada muzakarah tersebut.

Salah satu perkara yang menarik perhatian ialah kedua-dua parti mencapai persetujuan dalam perkara disepakati kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

Kejujuran,kestabilan dan perpaduan – inilah yang semakin terhakis dalam politik negara sekarang sehingga menyebabkan tercetusnya pertukaran Perdana Menteri, PRN Melaka dan PRN Johor.

Keadaan menjadi semakin tidak menentu apabila ada dalam kelompok pemimpin politik yang tidak ikhlas dalam menjalin hubungan biarpun bersama-sama berada dalam Kerajaan. Berada dalam kerajaan namun bertindak bagaikan ‘musuh dalam selimut’, ‘duri dalam daging’ dan ‘gunting dalam lipatan’.

Menyedari hakikat itulah muzakarah Bersatu-Pas beriltizam “Mencapai visi dan hala tuju bersama ke arah mengukuhkan PN, menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara. Menghalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional.“(Yakni dengan) merentasi platform bukan politik berteraskan nilai kepercayaan bersama dan perkongsian saksama.’’

Muzakarah tersebut turut menzahirkan rasa  kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan dan menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

Semua orang tahu siapa dalang dan ‘batu api’ sehingga politik negara menjadi tidak stabil, huru hara dan memperlihatkan ‘kerakusan’ mahu melebarkan kuasa ketika rakyat masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan ada antara mereka baru sahaja mahu bangkit semula selepas dilanda banjir.

Inilah yang dirasai oleh rakyat Johor sekarang, apabila kelebihan memerintah dengan satu kerusi dijadikan alasan untuk membubarkan DUN negeri sehingga membuka laluan kepada PRN.

Pendekatan atau corak politik yang mempertaruhkan nasib rakyat ini harus dihentikan! Muzakarah Bersatu-Pas biarpun tidak begitu ‘digempak gempita’ seperti mana Muafakat Nasional boleh menjadi alternatif kepada rakyat khususnya orang Melayu di Johor untuk memahami bahawa ‘Kejujuran,kestabilan dan perpaduan’ boleh diwujudkan.

Mereka tidak harus terperdaya dengan propaganda politik yang seolah-olah menggambarkan hanya BN dan UMNO sahaja boleh mewujudkan kestabilan dalam negara ini. Stabil atau tidak, segalanya bergantung kepada kejujuran parti-parti politik mewujudkan kestabilan melalui perpaduan.

Keghairahan dan teruja BN untuk mengadakan PRN di Johor boleh memakan diri memandangkan PRN itu akan menyaksikan lebih 700,000 pengundi baru termasuk pengundi berusia 18 tahun akan mengundi. Semua orang tahu sejauh mana penerimaan anak-anak muda terhadap UMNO.

Justeru langkah muzakarah itu yang akan mengambil daya usaha melonjakkan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat adalah langkah yang tepat dan strategik.

Namun begitu apa yang lebih penting ialah bagaimana Bersatu-Pas harus memastikan gabungan PN dapat menarik perhatian anak muda. Mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dengan memerangi rasuah dan salah guna kuasa harus menjadi tumpuan utama selain merangka agenda bagi kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun sama ada muzakarah ini akan berjaya atau tidak, ia bergantung sepenuhnya kepada komiten dan kerjasama kedua-dua parti khususnya di peringkat akar umbi. Oleh itu resolusi kelima muzakarah iaitu memperkukuhkan jalinan kerjasama Pas-Bersatu sebagai satu pasukan hingga ke peringkat jentera akar umbi amat tetap.

Kita harus akui, ketika ini gabungan kedua-dua parti itu dilihat ‘tidak mengancam’ bukan kerana Bersatu lemah atau Pas tidak ada kekuatan tetapi disebabkan kerjasama kukuh antara pemimpin di peringkat pusat tidak turun sehingga ke akar umbi.

Dalam kalangan ahli-ahli Pas mereka masih berbelah bahagi sama ada mahu bersama MN atau PN. Keadaan itu berlaku kerana di peringkat kepemimpinan pun berpecah belah. Keadaan ini harus diperbaiki, ia memandangkan Pas mempunyai kekuatan akar umbi luar biasa disebabkan kesetiaan dan kesungguhan ahli-ahlinya.

Memang benar, Bersatu ada kelemahan dari segi akar umbi tetapi ia bukannya tidak boleh diperbaiki, apa yang penting ialah komitmen ahli-ahlinya untuk bergabung tenaga dengan akar umbi Pas bagi mewujudkan satu gabungan politik Melayu yang boleh memberi saingan kepada UMNO.

Seperti mana kata ramai penganalisis UMNO tidak kuat tetapi lawan mereka yang lemah. Ia termasuklah juga PN. Jika kelemahan ini dapat diperbaiki sudah pasti tidak mustahil UMNO yang dlihat terus bergantung kepada pemimpinnya ‘yang bermasalah’ bagi mendapat sokongan dapat dikalahkan. Ia bukan soal mahu mengalahkan parti itu semata-mata tetapi memberi alternatif kepada rakyat khususnya orang Melayu bahawa mereka ada pilihan dalam pilihan raya.

Kalau itu dilakukan tidak perlulah lagi Bersatu dan Pas mempertegaskan resolusi keenam, iaitu sokongan PAS dan Bersatu kepada Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan mesti dirundingi di atas nilai integriti, anti rasuah dan berkebajikan.

Kesimpulannya biarpun ‘tidak segempar’ Muafakat Nasional namun Muzakarah Bersatu-Pas adalah permulaan yang baik kepada arena politik negara khususnya dalam mewujudkan satu kesepakatan parti politik Melayu yang tidak digugat oleh watak-watak ‘mereka yang bermasalah’, ‘batu api’ dan dilumuri dendam kesumat.

Penulis adalah Penganalisis Politik

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.
Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
SatuBerita menghargai pendapat anda.

Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here