Rebut pelanggan, dendam lama punca pergaduhan di Padang Kota Lama

0
382

KEJADIAN pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di Medan Selera Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin berpunca daripada perebutan pelanggan dan dendam lama antara dua pihak terbabit.

Perkara itu disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut,  Superintenden V. Saravanan yang turut memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang juga pengadu berusia 36 tahun berhubung kejadian itu.

Menurutnya, hasil semakan polis mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 11.40 malam kelmarin ekoran perselisihan faham antara pengadu serta lima lelaki tempatan sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Dua daripada lelaki tersebut merupakan adik pengadu manakala tiga lagi merupakan sepupu pengadu. Semasa pergaduhan, kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata.

“Siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan adalah kerana berebut pelanggan dan terdapat dendam lama antara kedua-dua belah pihak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini, video pergaduhan berdurasi 44 saat itu tular di laman sosial media Facebook sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Saravanan berkata, akibat kejadian itu kesemua individu terbabit mengalami kecederaan ringan iaitu luka dan calar pada bahagian badan.

Bagaimanapun tambahnya, kesemua yang terlibat telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang awam yang melihat kejadian tersebut supaya tampil ke IPD Timur Laut bagi membantu siasatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here