Pendakwa fail bantahan permohonan Rosmah gugurkan Gopal Sri Ram

0
425

PENDAKWAAN akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi mengetuai kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Sri Ram berkata, pihaknya hanya menerima afidavit melalui permohonan pembelaan untuk menggugurkan beliau pada Isnin lalu, dan memerlukan masa untuk menjawab afidavit berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan menghujahkan bahawa Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu kerana apa yang dipohon oleh Rosmah adalah di dalam bentuk perisytiharan.

“Oleh itu, permohonan berkenaan perlu dibuat melalui semakan kehakiman dan bukannya melalui permohonan prosiding jenayah.

“Kami dengan itu menyatakan ia adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah…. Kami akan memfailkan afidavit balasan petang ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian menangguhkan prosiding hari ini dan menetapkan pendengaran permohonan itu pada 17 Februari depan.

Mohamed Zaini turut menetapkan tarikh sama bagi mendengar permohonan Rosmah untuk menggugurkan beliau (Mohamed Zaini) daripada mendengar kes itu dan permohonan menangguhkan prosiding sehingga rayuannya untuk membatalkan pertuduhan berkenaan diputuskan mahkamah rayuan.

Dalam permohonan untuk menggugurkan Sri Ram, Rosmah dalam afidavitnya, berkata Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bertindak melangkaui bidang kuasanya apabila melantik Sri Ram untuk menerajui siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan melakukan pendakwaan ke atas mereka yang terbabit.

Rosmah berkata, selepas meneliti surat pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan mengikut Sesksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah bertarikh 8 Julai 2020, didapati pelantikan itu tidak merujuk kepada kes pengubahan wang haram dan LHDN yang dihadapinya.

Beliau berkata, jika pun mahkamah berpendapat Idrus bertindak secara teratur selaras dengan kuasa statutorinya, Sri Ram masih bukan individu yang sesuai dan wajar untuk menjalankan pendakwaan kes itu kerana berdasarkan surat pelantikan, adalah jelas beliau terbabit dalam proses siasatan.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here